KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Menteri merakamkan ucapan penghargaan atas peranan, pengorbanan dan kekuatan wanita dalam mencorak masa depan keluarga, masyarakat serta negara sempena sambutan Hari Wanita hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 akan diadakan pada 10 Mac ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Advertisement
Beliau berkata, majlis yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah simbol komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan wanita serta memastikan suara mereka terus dihargai.
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” membawa mesej jelas apabila wanita diberi ruang, peluang dan penghargaan yang sewajarnya, maka seluruh negara akan turut menjadi lebih kuat dan sejahtera.
“Kepada semua wanita, ibu, anak, kakak, adik, pemimpin, usahawan, pendidik dan pejuang kehidupan di mana jua anda berada, terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan ketabahan yang menjadi inspirasi kepada kita semua. Selamat Hari Wanita Antarabangsa,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di laman Facebook beliau menyifatkan kasih sayang wanita sebagai anugerah terindah dan merakamkan penghargaan khas buat ibu serta isteri tercinta.
“Terima kasih atas kekuatan, kasih sayang dan inspirasi yang anda berikan kepada dunia,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan pula berkata, pemerkasaan wanita dalam dunia pekerjaan terus menjadi keutamaan kementeriannya, merangkumi sektor formal hingga ke ekonomi gig.
Beliau berkata, wanita hari ini bukan sahaja menyumbang sebagai tenaga kerja yang signifikan kepada negara malah turut memimpin organisasi, memacu inovasi serta memainkan peranan penting dan amat bermakna dalam pertumbuhan ekonomi.
“Melalui pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran, perlindungan sosial, peluang pekerjaan yang lebih adil serta persekitaran kerja yang selamat dan inklusif, saya komited untuk memastikan lebih banyak wanita diberi peluang menyertai serta berkembang dalam pasaran buruh negara.
“Saya yakin apabila wanita diberi peluang yang saksama untuk maju bersama, bukan sahaja keluarga dan komuniti akan mendapat manfaat, malah negara juga akan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penglibatan aktif wanita merentas pelbagai sektor daripada pembuat dasar hingga penyelidik sains, golongan berkenaan menjadi tonggak kekuatan dalam memastikan agenda kelestarian negara tercapai.
“Marilah kita terus memberi ruang dan sokongan selayaknya kepada wanita untuk terus bersinar dan memimpin. Apabila kita memartabatkan wanita, kita sebenarnya sedang membina sebuah negara yang lebih teguh, adil dan sejahtera bagi generasi akan datang,” katanya.
Turut mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam sektor pelancongan dan budaya, banyak wanita memainkan peranan penting dalam memelihara budaya tempatan dan warisan masyarakat dengan penuh semangat dan profesionalisme.
“Usaha mereka bukan sahaja menyokong pembangunan masyarakat dan ekonomi tetapi juga membantu mempamerkan keindahan dan kemesraan budaya Malaysia yang pelbagai kepada dunia,” katanya.
-- BERNAMA