Indonesia nyatakan sokongan penuh hasrat Turkiye jadi Rakan Dialog ASEAN

Sugiono dan Sjafrie hadir pada satu sidang media bersama dengan Hakan dan Yasar, di Ankara, 9 Jan 2026. - Foto Facebook Kementerian Pertahanan Indonesia
JAKARTA: Indonesia menegaskan sokongannya terhadap hasrat Turkiye untuk menjadi Rakan Dialog penuh ASEAN, ketika Ankara kini giat memperkukuh penglibatan dengan blok 11 anggota itu.
Ringkasan AI
- Indonesia menyokong hasrat Turkiye untuk menjadi Rakan Dialog penuh ASEAN, menguatkan penglibatan dengan blok 11 anggota itu.
- Indonesia dan Turkiye komited untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$10 bilion serta memperdalam kerjasama pertahanan melalui pembinaan kapasiti dan latihan bersama.
- Kedua-dua negara menekankan penyelesaian dua negara sebagai jalan keamanan berkekalan di rantau Palestin, sambil menyusun perjanjian perdagangan dan ekonomi yang seimbang.
Rakan Dialog Sektoral ASEAN-Turkiye telah ditubuhkan pada tahun 2017.
Mesyuarat itu dihadiri Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono, serta Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler dan rakan sejawatnya, Sjafrie Sjamsoeddin.
Sementara itu, menteri-menteri Turkiye menyambut baik kelulusan permohonan mereka sebagai pemerhati bagi Tindakan Periuk Api Kemanusiaan (HMA) serta Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Campur (ADMM-Campur) bagi tempoh 2024-2027.
"Menteri-menteri Turkiye mengulangi sokongan mereka terhadap proses keanggotaan Indonesia dalam OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi), dan kedua-dua pihak menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh dan mempelbagaikan kerjasama bantuan pembangunan, dengan fokus kepada kerjasama tiga penjuru bagi memajukan pembangunan mampan dan terangkum," menurut kenyataan itu.
Mengenai isu Palestin, Indonesia dan Turkiye menekankan komitmen mereka terhadap penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan di rantau itu.
Menurut Deklarasi Bersama itu, Indonesia dan Turkiye komited untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada US$10 bilion, seperti yang ditetapkan oleh pemimpin kedua-dua negara.
Mereka turut menyambut baik perbincangan berterusan antara pihak berkuasa berkaitan yang bertujuan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) yang seimbang dalam masa terdekat, yang dilihat sebagai pencapaian penting ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).
Mengenai kerjasama pertahanan, menurut kenyataan itu kedua-dua pihak menggariskan komitmen untuk mendalami kerjasama ketenteraan melalui pembinaan kapasiti, latihan dan program pertukaran kakitangan, serta latihan bersama, selain memperluas kerjasama dengan melancarkan kursus Bahasa Turkiye untuk pegawai tentera Indonesia.
Dari aspek ekonomi pula, menteri-menteri Turkiye menyatakan kesediaan Ankara untuk menyokong program keutamaan Kerajaan Indonesia, termasuk projek tiga juta rumah serta pembangunan ibu kota baharu, Nusantara.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat 2+2 kedua di Indonesia pada tarikh yang akan diputuskan kelak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


