JAKARTA: Indonesia dan Singapura melaksanakan tiga perjanjian serentak iaitu penjajaran semula wilayah maklumat penerbangan (FIR), perjanjian kerjasama pertahanan (DCA) dan perjanjian ekstradisi pada 21 Mac.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, perjanjian itu penting untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam setiap bidang kerjasama keselamatan dan perkhidmatan navigasi yang cekap di ruang udara, kerjasama pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang melalui ekstradisi.

Kementerian itu dalam kenyataan menyatakan Indonesia telah menyelesaikan proses dalamannya untuk FIR melalui Peraturan Presiden No. 109 Tahun 2022, DCA melalui Undang-undang No. 3 Tahun 2023 dan Ekstradisi di bawah Undang-undang No. 5 Tahun 2023.

Menteri Pertahanan kedua-dua negara menandatangani DCA pada 27 April, 2007 di Bali manakala perjanjian FIR dan Ekstradisi dimeterai semasa Pemukiman Pemimpin di Bintan, Kepulauan Riau pada 25 Jan 2022.

Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan dalam kenyataan berasingan, menekankan peralihan pengurusan penerbangan awam di Wilayah Kepulauan Riau dan ruang udara Natuna kepada FIR Indonesia daripada bidang kuasa Singapura.

Menteri itu berkata wakil daripada pihak berkuasa trafik udara Indonesia ditempatkan di Changi untuk memantau pesawat ke dan dari Singapura, untuk melindungi ruang udara Indonesia.

Berikutan penguatkuasaan perjanjian itu, Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia caj perkhidmatan penerbangan untuk meningkatkan industri penerbangan Indonesia dan menarik pelaburan dalam penerbangan awam, katanya.

Dalam perjanjian ekstradisi itu, Luhut menyatakan kepentingannya dalam mengejar individu dalam buruan yang melarikan diri ke Singapura melalui penyelarasan antara pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia.

Mengenai kerjasama pertahanan, beliau melahirkan keyakinan dalam rangka kerja menggalakkan kerjasama ketenteraan antara Indonesia dan Singapura, yang meliputi lapan bidang kerjasama.

Luhut, bersama Menteri Kanan Singapura Teo Chee Hean, bekerjasama untuk menguatkuasakan perjanjian kerjasama antara kedua-dua negara, berikutan arahan daripada Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong selepas Pemukiman Pemimpin di Bintan.

-- BERNAMA