JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia mempertingkatkan siasatan epidemiologi dan memperkukuh pengawasan susulan makluman rasmi daripada pihak berkuasa kesihatan Australia mengenai satu kes demam campak yang melibatkan sejarah perjalanan dari Indonesia.
Ketua Biro Komunikasi dan Penerangan Awam kementerian itu, Aji Muhawarman berkata, pihaknya sedang menyelaras dengan pihak berkuasa Australia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Indonesia bagi memastikan tindak balas selari dengan piawaian antarabangsa.
Advertisement
Beliau berkata, makluman itu disampaikan melalui mekanisme Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) menerusi Pusat Tumpuan IHR Australia, dan telah disahkan serta disusuli oleh Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam (PHEOC) kementerian.
"Kes itu melibatkan seorang remaja perempuan warga Australia berusia 18 tahun yang melawat Bandung. Beliau mempunyai sejarah vaksinasi MMR (Campak, Beguk, Rubella) yang lengkap pada 2009 dan 2012, serta menaiki penerbangan Batik Air bagi laluan Jakarta-Perth pada 7 dan 8 Feb 2026.
"Ruam mula muncul pada 8 Feb di Perth dan keputusan ujian PCR (tindak balas berantai polimerase) adalah positif. Setakat ini, hanya satu kes dilaporkan dan tiada kematian direkodkan," katanya menurut laporan agensi berita ANTARA pada Ahad.
Aji berkata, pihak berkuasa Australia masih menjalankan siasatan lanjut dan belum memberikan butiran tambahan.
Setakat ini, siasatan epidemiologi yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Wilayah Jawa Barat tidak menemui sebarang kes tambahan yang berkaitan.
Beliau turut menegaskan, tiada wabak demam campak peringkat kebangsaan diisytiharkan dan pemantauan diteruskan melalui sistem pengawasan aktif.
Aji menggesa orang ramai supaya memastikan imunisasi demam campak mereka dikemas kini, terutamanya bagi mereka yang melakukan perjalanan antarabangsa.
"Individu yang mengalami gejala demam dan ruam dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan perubatan di kemudahan kesihatan terdekat, manakala mereka yang dijangkiti dinasihatkan mengehadkan kontak dengan orang lain bagi mencegah penularan," katanya.
-- BERNAMA