GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelaraskan bantuan sewajarnya kepada adik bongsu anggota tentera Truper K. Indiran, K. Maitraashini murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Greenlane.
Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyelaras segala bentuk bantuan dan sokongan pendidikan yang diperlukan bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan pembelajaran kanak-kanak berkenaan terpelihara.
Advertisement
"Saya telah meminta PPD dan wakil PPD juga hadir hari ini, supaya kita dapat menyelaraskan apa-apa bantuan serta sokongan pendidikan untuk anak ini.
"Jadi keluarga tak perlu risau, kita akan tengok segala keperluan anak ini dari semasa ke semasa, khususnya untuk pendidikan dia," katanya kepada pemberita selepas menziarahi kediaman keluarga mendiang di Taman Sri Nibong, di sini, pada Ahad dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.
Terdahulu, Fadhlina meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni ibu mendiang, S. Usha, 52, serta tiga adik Indiran bagi bertanya khabar serta memberikan sokongan moral selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu selepas kehilangan individu yang menjadi tunjang utama keluarga.
Sepanjang pertemuan, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut dilihat sebak ketika mendengar luahan Usha yang masih berduka atas pemergian mengejut anak sulung daripada empat beradik itu.
Selain Maitraashini, dua lagi adik mendiang ialah K. Varshini, 21, yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta K. Sarvien, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kulim, Kedah.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga malah kepada negara, lebih-lebih lagi melibatkan anggota keselamatan yang berkhidmat untuk tanah air pada usia muda.
Sementara itu, Usha ketika ditemui berkata, terharu menerima kunjungan Menteri Pendidikan itu yang memberikan sokongan moral kepada keluarganya apatah lagi ketika mereka masih dalam fasa untuk menerima hakikat kehilangan Indiran.
Beliau mengakui, kehilangan Indiran amat sukar diterima memandangkan mendiang merupakan tempat bergantung dan menjadi kekuatan selepas kematian suaminya, Mejar C. Kayamboo iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam nahas pesawat pada 2016.
"Setiap pagi Indiran akan menghantar mesej 'good morning', menelefon bertanya sama ada saya sudah bangun, makan dan bersarapan. Dia akan maklumkan kepada saya secara terperinci ke mana dia pergi dan apa saja yang dibuat," katanya.
Pada 18 Feb, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.
-- BERNAMA