Indonesia sekali lagi menolak tawaran Singapura yang mahu membantu usaha memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, apabila Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya Bakar memberitahu bahawa Indonesia akan menangani situasi itu dengan cara sendiri.

Menurut portal berita ChannelNewsAsia.com, media Indonesia pada awal minggu lalu melaporkan bahawa Naib Presiden Jusuf Kalla telah meminta bantuan Singapura.

“Singapura boleh datang dan tangani jerebu ini memandangkan kesannya turut dirasai di Singapura. Kami juga tidak suka pada keadaan jerebu ini. Semua orang tidak suka dan kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengawalnya,” ujar Jusuf dalam laporan tersebut.

Penolakan bantuan tersebut dipercayai dibuat selepas Indonesia meningkatkan usaha melawan kebakaran.

Presiden Joko Widodo sendiri telah menggerakkan ratusan pasukan penyelamat dan pegawai penguatkuasa untuk menjalankan tugas masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Nurbaya akan bertemu rakan sekerja dari Malaysia iaitu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada minggu depan di Jakarta bagi membincangkan langkah menangani krisis tersebut.

Wan Junaidi berkata, memorandum persefahaman akan ditandatangani antara dua negara bersama Singapura, Brunei dan Thailand mengenai tindakan yang perlu dilakukan selanjutnya.

Antara yang akan dibincangkan adalah mengurangkan kerenah birokrasi dan menyegerakan bentuk bantuan.

Pada masa ini, undang-undang Indonesia menyatakan bahawa wilayah yang terjejas dalam krisis kebakaran hutan perlu diisytihar darurat sebelum pemerintah pusat dan negara-negara asing boleh membantu.

Buat masa ini, Indonesia telah menangkap beberapa pegawai eksekutif dari tujuh buah syarikat yang dipercayai terlibat dalam tindakan yang menyumbang kepada jerebu dan pencemaran di rantau ini.