PATTANI (Thailand): Thailand telah menubuhkan pusat pembelajaran baharu bagi menyediakan latihan serta garis panduan perniagaan kepada ahli terapi dan usahawan spa halal bagi mematuhi standard halal.

Terletak di Kampus Pattani Prince of Songkhla University (PSU), pusat itu menawarkan latihan membabitkan semua aspek rawatan, termasuk penggunaan produk dan kelengkapan yang mematuhi standard halal serta penyediaan kemudahan yang berasingan mengikut jantina.

Perkembangan penting itu dapat memastikan ahli terapi dan usahawan spa memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan spa halal.

Pusat itu juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan membantu menempatkan Thailand sebagai destinasi pelancongan utama perkhidmatan spa halal.

Pensyarah Institut Halal PSU Pattani Sufiana Sarisae berkata pasaran spa halal sedang berkembang pesat yang dipacu oleh peningkatan bilangan pelancong Muslim serta kesedaran terhadap produk dan perkhidmatan halal.

"Thailand terkenal sebagai destinasi spa dan ramai pengusaha berminat untuk mengubah perniagaan kepada spa halal untuk memenuhi peningkatan permintaan masyarakat Muslim Thailand dan pelancong Muslim.

"Dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember, pusat ini merupakan projek perintis bagi pusat pembelajaran spa halal di selatan Thailand dan akan menjalankan penyelidikan serta inovasi mengenai produk dan pembangunan spa halal," katanya kepada Bernama.

Kos pembinaan pusat berkenaan menelan belanja kira-kira sembilan juta baht, termasuk enam juta baht bagi reka bentuk dalaman dan tiga juta baht untuk operasi dan kelengkapan.

Sufiana berkata spa halal itu akan menyediakan kemudahan berasingan untuk pelanggan lelaki dan perempuan. Ahli terapi lelaki hanya untuk pelanggan lelaki dan sebaliknya.

Selain itu, hanya produk yang mendapat pensijilan halal akan digunakan, termasuk barangan dan perhiasan serta alunan muzik yang bersesuaian dengan status halal.

"Sebahagian besar bahan mengandungi herba Thailand. Sebagai contoh, Institut Halal menghasilkan produk spa halal yang dipanggil Minyak Urut Langkasuka dan ia juga menawarkan kursus latihan lima hari mengenai cara pembuatan. Semua produk spa mesti mendapat pensijilan halal atau berasaskan sumber halal," katanya.

Global Wellness Institute (GWI), sebuah organisasi penyelidikan utama untuk industri kecergasan, meramalkan industri spa menjana pendapatan sebanyak US$151 bilion pada 2025.

Sufiana berkata delegasi dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melawat Institut Halal dan pusat itu untuk meneroka peluang kerjasama dalam perkhidmatan spa halal dan pelancongan.

--BERNAMA