KUALA LUMPUR: Syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada Isnin memaklumkan, ia akan terus memanfaatkan rantaian nilai bersepadu menerusi anak‑anak syarikatnya bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di dalam negara.
Dalam satu kenyataan, syarikat minyak nasional itu berkata langkah berkenaan bertujuan menyokong hampir 50 peratus pegangan pasarannya, sekurang‑kurangnya sehingga Mei 2026.
Advertisement
Ketika ini, jelas syarikat itu, permintaan domestik bahan api terus melebihi bekalan tempatan, menyebabkan baki keperluan pasaran perlu dipenuhi oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Dalam pada itu, PETRONAS berkata ia terus memantau rapi situasi bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilan bekalan di seluruh negara, ketika ketidaktentuan pasaran tenaga global semakin meningkat susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Menurut syarikat itu, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini tidak kebal sepenuhnya daripada kesan krisis geopolitik antarabangsa.
"Keadaan tersebut dipengaruhi oleh faktor rantaian bekalan global, termasuk kebergantungan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz bagi penghantaran minyak mentah.
"Konflik berkenaan telah mencetuskan kenaikan ketara harga minyak mentah dunia, selain meningkatkan kos penghantaran, premium insurans dan perbelanjaan logistik, yang secara langsung memberi tekanan kepada keselamatan bekalan bahan api," katanya lagi.
Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa harga runcit bahan api di Malaysia kekal dikawal kerajaan menerusi Mekanisme Harga Automatik. Subsidi bagi petrol RON95 dan diesel juga diteruskan bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan harga global.
Sehubungan itu, PETRONAS menggesa pihak industri dan orang ramai agar mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah, selain menasihati pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik atau penyimpanan bahan api secara berlebihan.
PETRONAS turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan, sambil mengutamakan keselamatan tenaga negara dan kesejahteraan rakyat, dalam keadaan tempoh serta kesan penuh krisis global masih tidak menentu.