DUNIA
"Ini bukan tentang kami, ini tentang genosid rakyat Gaza" - Greta Thunberg

Thunberg merupakan antara 171 aktivis yang diusir Israel selepas ditahan kerana menyertai flotila bantuan menuju ke Gaza. - Gambar/ Reuters
LONDON/ISTANBUL: Aktivis Sweden, Greta Thunberg tampil bersuara buat kali pertama pada Isnin selepas dibebaskan daripada tahanan Israel, ketika beliau dilaporkan dipukul dan dipaksa mencium bendera Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Greta Thunberg dilapor dipukul dan dipaksa mencium bendera Israel semasa ditahan bersama 171 aktivis lain yang menyertai Global Sumud Flotilla ke Gaza, sebelum mereka diusir dan berlepas ke Greece dan Slovakia.
- Dalam ucapannya di Athens, Thunberg menegaskan bahawa fokus utama bukan pengalaman tahanan, tetapi genosid yang sedang berlaku di Gaza, serta kecaman terhadap penindasan global di tempat lain seperti Congo, Sudan dan Afghanistan.
- Thunberg menyifatkan tindakan Israel menghalang bantuan kemanusiaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru negara-negara dunia agar bertanggungjawab menghentikan keterlibatan dalam jenayah tersebut.
Ketibaan Thunberg bersama aktivis lain di Greece disambut dengan sorakan oleh penyokong yang menanti mereka selepas melalui pengalaman pahit dalam tahanan.
Berucap di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos di Athens, Thunberg menegaskan bahawa pengalamannya bukan perkara utama untuk dibicarakan.
"Saya boleh bercerita panjang lebar tentang layanan buruk dan penyeksaan yang kami alami ketika dalam tahanan, percayalah. Tetapi itu bukan kisah sebenar.
"Saya ingin jelaskan satu perkara: sedang berlaku satu pembunuhan beramai-ramai di depan mata kita -- satu genosid yang disiarkan secara langsung.
"Tiada siapa yang berhak berkata mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiada sesiapa di masa hadapan yang boleh mengatakan kita tidak tahu," kata Thunberg.
Beliau menuduh Israel terus memperhebat "genosid dan kemusnahan besar-besaran dengan niat menghapuskan seluruh populasi dan sebuah bangsa di depan mata dunia."
"Kita tidak boleh mengalihkan pandangan daripada Gaza dan juga tempat-tempat lain di dunia yang sedang menderita akibat sistem penindasan yang berterusan seperti di Congo, Sudan, Afghanistan, dan banyak lagi.
"Apa yang kita lakukan kini hanyalah usaha minimum.
"Saya tidak mampu memahami bagaimana manusia boleh menjadi sebegitu jahat.
"Sanggup membiarkan jutaan manusia kebuluran di bawah sekatan haram, sebagai kesinambungan penindasan dan dasar aparteid selama puluhan tahun," katanya.
Dalam video yang dimuat naik ke akaun Instagramnya, Thunberg berkata Global Sumud Flotilla merupakan manifestasi "solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin."
Beliau menegaskan bahawa Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Negara-negara di dunia mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menamatkan keterlibatan mereka dalam genosid -- sesuatu yang kini turut disahkan oleh Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Thunberg sambil menegaskan bahawa Israel tidak boleh dikecualikan daripada pertanggungjawaban terhadap jenayah itu.
Global Sumud Flotilla yang berlayar untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menghampiri perairan wilayah itu pada 1 Okt lalu sebelum diserang tentera Israel.
Tentera rejim bertindak merampas puluhan kapal dan menahan ratusan penumpang dalam operasi yang disifatkan sebagai pencerobohan tidak sah.
Flotila berkenaan merupakan misi terbesar pernah dilancarkan secara kolektif bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami