ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 8 November 2026.
MARA sasar gandakan bilangan pelajar tajaan ke Turkiye tahun depan - Ahmad Zahid
Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menggandakan bilangan pelajar tajaan yang dihantar melanjutkan pengajian ke Turkiye tahun depan, susulan kejayaan penghantaran kumpulan perintis sebanyak 17 orang pada September tahun ini.
Siling Hospital Seberang Jaya bocor akibat hujan lebat, angin kencang
Hujan lebat luar biasa berserta angin kencang mengakibatkan beberapa bangunan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dimasuki air berikutan kebocoran siling, malam tadi.
Isu pengampunan Najib: Pemuda UMNO Johor gesa Peguam Negara berundur
Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara berundur secara terhormat susulan kontroversi pengendalian keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pelakon Cico Harahap meninggal dunia
Pelakon Cico Harahap, atau nama penuhnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, disahkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke Hospital Ampang minggu lalu.
Perbezaan pendirian parti tidak jejas pentadbiran Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
Perbezaan pandangan dan pendirian politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri hingga Rabu
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Sabah dan seluruh Terengganu hingga Rabu ini.
Tiada isu DUN Negeri Sembilan terbubar, persidangan ikut jadual - MB
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak akan dibiarkan terbubar sebaliknya persidangan akan diusahakan supaya dapat berlangsung mengikut jadual yang dirancang, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Ancaman siber: Malware XCPE ‘ditanam’ dalam peranti sejak pembuatan di kilang - NACSA
Malware XCPE yang dikesan dalam peranti Android TV Box mempunyai tahap ancaman serius apabila perisian hasad itu sudah tertanam pada peringkat perisian tegar (firmware) sejak proses pembuatan di kilang, sebelum peranti digunakan pengguna.
Rakyat Malaysia ditahan bawa dadah di Brunei miliki dua rekod jenayah
Lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Brunei bersama-sama lebih 100 kilogram (kg) dadah disyaki syabu di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak pada 31 Okt lepas didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Kuantan, Pekan dan Rompin diramal bermula hari ini hingga Rabu
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir terutama di lokasi hotspot, kawasan rendah serta berisiko bermula hari ini hingga 11 Nov.