PENGAWAL selia syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan operasi beberapa pesawat Boeing 737 Max 9 digantung sementara susulan sebuah pesawat Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, AS pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku selepas penumpang mengadu panel tingkap pesawat berkenaan tercabut dipercayai selepas berdepan masalah tekanan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, penggantungan operasi itu akan menjejaskan 171 pesawat.

United Airlines berkata, syarikat itu telah menjalankan pemeriksaan yang diperlukan oleh FAA ke atas beberapa 79 pesawat Boeing 737 Max 9 miliknya.

Penggantungan sementara beberapa pesawat daripada perkhidmatan dijangka menyebabkan kira-kira 60 pembatalan pada hari Sabtu, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, FAA berkata ia akan "memerintahkan penggantungan sementara pesawat Boeing 737 Max 9 tertentu yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan AS atau di wilayah AS."

Pemeriksaan yang diperlukan akan mengambil masa kira-kira empat hingga lapan jam bagi setiap pesawat, katanya.

Dalam kejadian pada hari Jumaat, penerbangan Alaska Airlines dari Portland, Oregon ke Ontario, California, telah mencapai 16,000 kaki (4,876m) apabila ia memulakan penurunan kecemasannya, menurut data penjejakan penerbangan.

Syarikat penerbangan itu, yang membawa 177 penumpang dan anak kapal, selamat mendarat kembali di Portland.

Tiada petunjuk segera mengenai punca kegagalan struktur yang jelas, mahupun sebarang laporan kecederaan.

Dalam klip audio yang dikongsi, juruterbang pesawat itu berkomunikasi dengan kawalan trafik udara memohon untuk melakukan lencongan akibat keadaan kecemasan.

Mengumumkan penghentian awal 65 pesawat, Ketua Pegawai Eksekutif Alaska Airlines, Ben Minicucci berkata: "Perkhidmatan setiap pesawat akan kembali beroperasi hanya selepas selesai penyelenggaraan penuh dan pemeriksaan keselamatan dilakukan."

Kata beliau, lebih daripada satu perempat daripada pesawat tersebut telah diperiksa dan akan kembali beroperasi kerana tiada masalah ditemui.

Sementara itu, Boeing pula dalam reaksinya berkata, ia menyokong keputusan FAA dan akan bekerjasama dengan penyiasatan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan mengenai insiden Alaska Airlines.

"Keselamatan adalah keutamaan kami dan kami amat kesal dengan kesan insiden ini terhadpa pelanggan kami dan penumpang mereka," kata Boeing dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Insiden berkenaan merupakan masalah terbaharu membabitkan model terlaris Boeing, yang digantung selama hampir dua tahun berikutan nahas yang berlaku pada 2018 dan 2019. - Agensi