ISTANBUL: Dua orang maut selepas seorang daripada mereka terdedah kepada bahan yang disyaki wap toksik di sebuah loji rawatan kumbahan di selatan Itali manakala petugas kecemasan yang memberikan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) turut rebah dan meninggal dunia pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan.
Insiden berlaku di kemudahan milik perbandaran di San Vito Lo Capo, Wilayah Trapani, Sicily, menurut agensi berita Itali (ANSA).
Pekerja loji Davide Anselmo jatuh sakit ketika berada di dalam kemudahan berkenaan sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba.
Ketika usaha untuk menyelamatkannya dilakukan, petugas kecemasan Francesco Bulgarella pula rebah ketika memberikan CPR. Walaupun usaha menyelamatkan kedua-duanya dilakukan, kedua-dua lelaki itu meninggal dunia.
Seorang lagi petugas kecemasan dan seorang doktor dilaporkan berada di tempat kejadian. Punca sebenar kematian masih dalam siasatan, manakala pihak berkuasa turut meneliti kemungkinan cuaca panas melampau di kawasan berkenaan menjadi faktor penyumbang kepada insiden itu.
Loji rawatan berkenaan sebelum ini pernah menjadi perhatian pihak berkuasa. Pada Jun 2016, loji itu dikenakan penyitaan sementara sebagai sebahagian daripada siasatan Pejabat Pendakwa Raya Trapani berhubung dakwaan pencemaran laut.
Penyiasat ketika itu berkata kemudahan yang dibina pada 2010 itu tidak pernah menjalani ujian rasmi manakala agensi perlindungan alam sekitar serantau berulang kali melaporkan operasi yang tidak mematuhi prosedur sepenuhnya.
-- BERNAMA-ANADOLU