POLIS menolak unsur 'tidak sengaja' dalam insiden kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai menembak gurunya di Virginia, Amerika Syarikat, pada Jumaat.

Ketua Polis Newport News, Steve Drew, berkata pihaknya masih menyiasat lanjut kejadian yang berlaku di Sekolah Rendah Richneck, Newsport News.

"Polis masih tidak jelas bagaimana kanak-kanak itu mendapatkan pistol namun kejadian itu bukan 'tembakan tidak sengaja'," katanya dilapor BBC.

BACA: Insiden tembakan di Virginia, murid 6 tahun ditahan

Dalam pada itu, mangsa yang merupakan guru di sekolah itu, Abby Zwerner berusia 30-an mengalami kecederaan serius.

“Zwerner dibawa ke hospital berhampiran dan kini dipantau rapi oleh doktor. Insiden itu berlaku di dalam kelas darjah satu (umur enam hingga tujuh) selepas pertengkaran berlaku antara guru dan anak murid,” katanya.

Beliau menambah bahawa Zwerner kekal dalam keadaan kritikal selepas kejadian.

Sementara itu, Drew memaklumkan tiada murid lain tercedera dalam insiden tembakan di sekolah rendah itu.

Sementara itu, pentadbir Sekolah Rendah Richneck yang memiliki 550 murid memaklumkan sesi persekolahan pada Isnin dibatalkan.

Undang-undang Virginia tidak membenarkan individu berusia enam tahun dibicarakan sebagai orang dewasa, dan terlalu muda untuk diletakkan di dalam tahanan Jabatan Keadilan Juvana jika disabit kesalahan.

Namun, hakim juvana memiliki kuasa untuk membatalkan hak penjagaan ibu bapa dan menempatkan kanak-kanak itu di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Sosial.

Newport News ialah sebuah bandar dengan penduduk sekitar 180,000 orang yang terletak kira-kira 70 batu (112km) ke selatan ibu negeri Richmond.