Internet disekat dua minggu, pendapatan rakyat Iran terjejas teruk

Wanita Iran berjalan di pinggir jalan di Tehran, Iran pada 19 Januari 2026. - Gambar Reuters
TEHRAN: Lebih dua minggu terputus daripada akses internet global, rakyat Iran kini bergelut meneruskan kehidupan apabila sekatan komunikasi terus menjejaskan pendapatan serta operasi harian mereka.
Amir, 32, seorang pencipta kandungan dalam talian berkata, dia sudah tidak dapat menghasilkan ulasan permainan video dan filem sejak 8 Januari, selepas kerajaan melaksanakan sekatan internet paling ketat dalam sejarah negara itu susulan protes anti-kerajaan yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa, menurut angka rasmi.
“Kerja saya bergantung sepenuhnya pada internet… saya tidak tahu bagaimana mahu bertahan tanpa akses ini,” katanya kepada AFP.
Amir kini hanya mampu membaca beberapa laman berita tempatan yang masih boleh diakses melalui rangkaian intranet Iran, sambil menunggu tanda-tanda sambungan global dipulihkan.
Sekatan jejaskan ekonomi
Protes tercetus pada 28 Disember di Tehran akibat kos sara hidup yang meningkat, bermula secara aman sebelum bertukar menjadi rusuhan yang menurut kerajaan “didalangi pihak asing.”
Walaupun tunjuk perasaan semakin reda, sekatan internet masih diteruskan.
Menteri Luar Iran mempertahankannya sebagai langkah mengekang “operasi pengganas asing”, namun kumpulan hak asasi mendakwa ia bertujuan menutup tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.
Dengan internet global disekat, lebih 80 juta rakyat Iran kini terpaksa menggunakan intranet domestik, yang hanya membolehkan perkhidmatan bas dan metro, urus niaga pembayaran, aplikasi penghantaran makanan dan e-hailing serta melayari laman berita tempatan,
Pada hujung minggu lalu, media tempatan melaporkan aplikasi mesej domestik seperti Bale, Eitaa dan Rubika akan kembali berfungsi.
Namun, Amir berkata, beliau enggan menggunakannya kerana bimbang isu keselamatan data.
Penerbangan dan urusan perdagangan terjejas
Kesan sekatan internet itu sebetulnya jauh lebih luas daripada sekadar penggunaan media sosial.
Timbalan Menteri Telekomunikasi, Ehsan Chitsaz memaklumkan, Iran mengalami kerugian antara 4 hingga 6 trilion rial (AS$3 hingga AS$4 juta) sehari.
Kumpulan pemantau internet NetBlocks pula menganggarkan kos sebenar mencecah AS$37 juta sehari.
Seorang ejen pelancongan di Tehran berkata, tempahan penerbangan antarabangsa menjadi “tidak stabil”, dengan beberapa penerbangan dibatalkan tanpa notis awal kepada penumpang.
“Bilangan pelanggan yang menghubungi saya untuk menempah tiket jatuh mendadak,” katanya.
Dalam sektor perdagangan pula, pemandu lori bernama Iraj, 51, berkata, proses dokumentasi eksport kini mengambil masa berjam-jam kerana sistem digital yang perlahan.
Bukannya kali pertama, tapi kali ini paling lama dan paling ketat.
Iran pernah melaksanakan sekatan internet dalam tempoh ketegangan politik sebelum ini, antara lain semasa protes pilihan raya 2009, protes harga bahan api (2019), protes selepas kematian Mahsa Amini (2022–2023) dan perang 12 hari dengan Israel (2025). - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


