NEW YORK: Iran menawarkan untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari sekiranya syarat tertentu dipenuhi, sekali gus memberi isyarat kemungkinan penyelesaian kepada konflik yang telah mengganggu laluan perdagangan tenaga terpenting dunia itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Amerika Syarikat (AS) dan berasaskan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Jun lalu bagi melanjutkan gencatan senjata yang kemudiannya gagal dipertahankan.
"Jika syarat yang diperlukan dipenuhi, laluan perkapalan biasa boleh dipulihkan dalam tempoh tujuh hari. Pilihan kini berada di tangan Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan syarat yang dimaksudkan, sebaliknya berkata semua perkara itu telah terkandung dalam MoU berkenaan.
Seorang pegawai AS pula dipetik Reuters sebagai berkata perbincangan positif sedang berlangsung menerusi orang tengah, termasuk mengenai isu nuklear Iran.
Ketegangan antara Washington dan Tehran meningkat selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel, pangkalan tentera AS di Teluk serta beberapa sekutu Arab Washington selain menutup Selat Hormuz.
Sebelum konflik tercetus, kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui laluan strategik itu.
Penutupannya menyebabkan harga tenaga dunia mengalami turun naik ketara.
MoU yang dimeterai pada 18 Jun antara lain menggariskan komitmen Iran untuk tidak memiliki senjata nuklear serta mewujudkan gencatan senjata melalui penamatan operasi ketenteraan oleh semua pihak yang terlibat.
Perjanjian itu turut merangkumi cadangan penamatan sekatan laut AS, pelonggaran sekatan ekonomi ke atas Iran serta jaminan laluan selamat kepada kapal perdagangan yang menggunakan Selat Hormuz.
Namun, pelaksanaan perjanjian itu tergendala apabila kedua-dua pihak kembali melancarkan serangan.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB minggu ini menyatakan keyakinan bahawa perjanjian dengan Iran boleh dicapai selepas pilihan raya Kongres AS pada November.
Trump turut memberi amaran bahawa Washington mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap Republik Islam itu sekiranya rundingan gagal menghasilkan keputusan.
Sebagai respons, Araghchi menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk paksaan atau ancaman.
"Iran tidak menerima paksaan, ancaman atau intimidasi. Keamanan tidak boleh dibina melalui ancaman pemusnahan," katanya.
Beliau menegaskan penyelesaian konflik hanya boleh dicapai menerusi dialog dan diplomasi yang berasaskan saling menghormati, bukannya tekanan atau ugutan ketenteraan.