Ringkasan AI
- Kegagalan membayar ansuran cukai di bawah CP500 tidak menyebabkan sekatan perjalanan ke luar negara kerana ia bukan taksiran cukai muktamad.
- Sekatan perjalanan hanya dikenakan selepas jumlah liabiliti cukai sebenar ditentukan melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan tunggakan tidak dijelaskan.
- Pembayar cukai dinasihatkan menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax atau laman web Jabatan Imigresen Malaysia sebelum merancang perjalanan.
KUALA LUMPUR: Kegagalan pembayar cukai menjelaskan ansuran cukai di bawah Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak menyebabkan mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara kerana bayaran itu bukan taksiran cukai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata sekatan perjalanan hanya boleh dikenakan selepas pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP), yang membolehkan jumlah liabiliti cukai sebenar ditentukan.
“Berdasarkan BNCP dikemukakan, jumlah cukai sebenar akan dihitung semula dengan menolak bayaran ansuran CP500 yang telah dibuat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang ingin tahu sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) berhak menyekat perjalanan ke luar negara kerana tunggakan CP500, termasuk asas perundangan dan jumlah individu yang telah dikenakan sekatan itu.
Menjelas lanjut, Liew berkata sekiranya masih terdapat baki cukai yang perlu dibayar selepas pengiraan dibuat berdasarkan BNCP dan pembayar cukai gagal menjelaskannya dalam tempoh ditetapkan, baki berkenaan akan diklasifikasikan sebagai tunggakan cukai.
“Oleh itu, bagi mengelakkan urusan ke luar negara terganggu disebabkan kesalahan tidak membayar tunggakan cukai kepada kerajaan, HASiL melalui pelbagai platform sentiasa menasihati pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan, sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara,” katanya.
Semakan status tunggakan cukai atau sekatan perjalanan boleh dibuat menerusi portal MyTax atau laman web Jabatan Imigresen Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Chow mengenai justifikasi untuk menyekat perjalanan individu yang jumlah liabiliti cukainya belum dimuktamadkan, Liew berkata tindakan itu lazimnya diambil selepas enam bulan sekiranya tunggakan cukai masih belum dijelaskan dan tiada maklum balas diterima daripada pembayar cukai.
-- BERNAMA