Skip to main content

Dunia

Iran gesa rangka kerja keselamatan Teluk tanpa campur tangan luar

51750577377_tbAbbasAraghchi.jpg
Abbas Araghchi (foto) berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kestabilan jangka panjang di rantau Asia Barat. -Gambar fail
Advertisement

BAGHDAD: Iran menggesa penubuhan rangka kerja keselamatan serantau bersama negara Teluk yang bebas daripada kehadiran dan campur tangan kuasa luar.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kestabilan jangka panjang di rantau Asia Barat, lapor Al Jazeera.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Iraq hari ini, susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

“Kita sepatutnya mencapai satu rangka kerja baharu yang merangkumi semua negara di rantau ini tanpa kehadiran atau campur tangan daripada mana-mana kuasa luar,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan di rantau tersebut memuncak susulan beberapa insiden ketenteraan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan, Bahrain dan Kuwait mendakwa wilayah mereka menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu, yang dikaitkan dengan Iran.

Dalam perkembangan sama, media antarabangsa turut melaporkan bahawa tentera AS melancarkan beberapa serangan udara ke atas kemudahan strategik di Iran sebelum itu.

Cadangan penubuhan rangka kerja keselamatan serantau oleh Tehran dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar, selain menangani kebimbangan keselamatan negara jiran di rantau Teluk.

 

 

Must Watch Video

Advertisement