TEHRAN: Iran pada Ahad memaklumkan, ia hampir mencapai persetujuan dengan Oman berhubung laluan baharu melalui Selat Hormuz, beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan serangan besar bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi.
Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu berkata, negaranya dan Israel bersetuju untuk menangguhkan sebarang serangan baharu ke atas Iran kerana percaya asas kepada satu perjanjian sudah wujud.
Iran dan AS yang disokong Israel terlibat dalam konflik sejak 28 Februari lalu apabila Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan mengejut terhadap Iran.
Namun, beberapa siri rundingan yang berlangsung secara berkala sebelum ini telah mewujudkan tempoh ketegangan yang lebih terkawal.
Selepas serangan kembali tercetus bulan lalu, kebimbangan meningkat bahawa konflik berkenaan boleh kembali memuncak.
Trump sebelum ini mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap Iran dan dilaporkan mempertimbangkan serangan baharu termasuk ke atas infrastruktur tenaga, manakala kedutaan AS di seluruh rantau Asia Barat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Bagaimanapun, pendirian Trump dilihat berubah selepas beberapa siri usaha diplomatik dilakukan, termasuk perbincangan beliau dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Trump berkata, AS menerima permintaan daripada Iran dan beberapa negara Asia Barat supaya menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan kerana rangka asas perjanjian telah dipersetujui.
“Berdasarkan permintaan itu, saya bersetuju untuk membatalkan serangan demi kepentingan masa depan dunia serta kelangsungan sebuah Iran yang berjaya dan makmur, tertakluk kepada kemampuan untuk segera memeterai perjanjian,” katanya menerusi platform Truth Social.
Bagaimanapun, tidak jelas sejauh mana perkembangan sebenar rundingan tersebut, sementara media Iran menafikan Tehran pernah meminta Trump membatalkan serangan.
Fokus kepada Selat Hormuz
Jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Hassan Ghashghavi, berkata, pihak perantara kini berusaha menghidupkan semula Memorandum Persefahaman Islamabad yang dipersetujui pada Jun lalu.
Menurut beliau, memorandum itu bukan perjanjian damai muktamad, sebaliknya langkah awal ke arah rundingan yang lebih menyeluruh, termasuk melibatkan isu Selat Hormuz.
“Mereka sedar bahawa isu utama ketika ini ialah Selat Hormuz. Ya, memang terdapat pertukaran pandangan mengenai perkara itu,” katanya.
Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia menjadi tumpuan utama dalam usaha diplomatik yang setakat ini masih belum menghasilkan penyelesaian muktamad.
Sebelum konflik tercetus, semua kapal dibenarkan melalui selat itu secara bebas.
Namun, Iran menutup laluan berkenaan semasa perang dan kini mahu mengekalkan kawalan serta mengenakan caj ke atas kapal yang melaluinya, sesuatu yang ditolak AS.
Trump menegaskan, sebarang perjanjian mesti merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz secara serta-merta dan penamatan ancaman nuklear Iran.
Sejak permulaan konflik, Washington berpendapat tindakan ketenteraan diperlukan bagi menangani program nuklear Iran.
Negara-negara Barat menuduh Tehran berusaha membangunkan senjata nuklear, namun, Iran berulang kali menegaskan, program tersebut hanya bertujuan untuk kegunaan awam.
Laluan baharu sedang dirunding
Pertikaian mengenai Selat Hormuz menjadi antara faktor yang mencetuskan semula serangan bulan lalu selepas Tehran enggan membenarkan kapal menggunakan laluan lain selain laluan yang berhampiran pantai Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, rundingan dengan Oman yang terletak di seberang selat itu kini hampir mencapai persetujuan mengenai laluan baharu yang boleh diterima kedua-dua pihak.
“Kami kini hampir mencapai persefahaman mengenai satu laluan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak, bukan laluan utara atau selatan, tetapi laluan yang menghormati hak kedaulatan kedua-dua negara serta melindungi kepentingan dan keselamatan negara kami,” katanya kepada televisyen kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, persetujuan tersebut tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya.
Sementara itu, firma pemantauan perdagangan maritim, Kpler melaporkan, trafik kapal yang melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara sejak kebelakangan ini. - Agensi