Skip to main content
Advertisement

Dunia

Iran kebumi Khamenei di kampung halaman lebih empat bulan selepas terbunuh

People carry the coffin of Iran's late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, who was killed on February 28 in Israeli and U.S. airstrikes, during his funeral procession, in Karbala, Iraq, July 9, 2026. REUTERS/Ahmed Saad
Pemindahan itu menandakan fasa terakhir siri istiadat penghormatan dan pengebumian negara yang berlangsung selama enam hari di Iran dan Iraq. -Gambar Reuters
Advertisement

MASHHAD: Keranda jenazah Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, kini dalam proses dipindahkan dari kota suci Najaf di Iraq ke Mashhad bagi menyempurnakan istiadat pengebumian rasmi pada Khamis.

Agensi berita Mehr melaporkan pemindahan itu menandakan fasa terakhir siri istiadat penghormatan dan pengebumian negara yang berlangsung selama enam hari di Iran dan Iraq.

Sebelum pemindahan ke Mashhad, ratusan ribu rakyat serta penganut Syiah membanjiri jalan utama di Najaf dan Karbala bagi mengiringi perarakan keranda bekas pemimpin itu.

Kerajaan Iraq turut mengisytiharkan Rabu sebagai cuti umum bagi melancarkan urusan perarakan berkenaan yang merangkumi upacara penghormatan rasmi di Makam Imam Hussein dan Makam Abbas di Karbala.

Ketua Pejabat Khamenei, Mohammad Mohammadi Golpayegani, mengesahkan bahawa Allahyarham telah meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di kompleks Makam Imam Reza di Mashhad, bandar kelahirannya.

Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada usia 86 tahun dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas kompleks kediamannya pada 28 Februari lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan ketenteraan yang memuncak di Asia Barat.

Pihak berkuasa Iran sebelum ini menangguhkan istiadat pengebumian awam selama lebih empat bulan susulan konflik bersenjata dan keadaan keselamatan yang tidak menentu selepas serangan tersebut.

Kawalan keselamatan di Mashhad kini diperketatkan, dengan pihak berkuasa menjangkakan kehadiran besar penyokong serta delegasi antarabangsa yang mahu menyaksikan proses pengebumian berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement