Skip to main content

Dunia

Iran lulus undang-undang larang temu bual dengan media musuh

Penggubal undang-undang meluluskan larangan itu sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang Melawan Pengaruh Asing semasa sidang parlimen. - Reuters
Penggubal undang-undang meluluskan larangan itu sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang Melawan Pengaruh Asing semasa sidang parlimen. - Reuters

Advertisement

TEHRAN: Parlimen Iran meluluskan undang-undang yang melarang warganya daripada ditemu bual atau mengambil bahagian dalam perbincangan dengan media atau tokoh media yang ditetapkan oleh negara itu sebagai "bermusuhan", lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik agensi berita separuh rasmi ISNA.

Penggubal undang-undang meluluskan larangan itu sebagai sebahagian daripada Rang Undang-Undang Melawan Pengaruh Asing semasa sidang parlimen.

Di bawah undang-undang yang baharu itu, warga Iran dilarang daripada mengambil bahagian dalam temu bual, perdebatan atau perbincangan dengan rangkaian televisyen, stesen radio, laman web atau akaun media sosial peribadi yang secara rasmi ditetapkan sebagai musuh oleh Agen Perisikan Iran.

Larangan itu juga akan dikenakan ke atas organisasi media asing yang dimiliki, diuruskan atau dibiayai kerajaan yang dianggap bermusuhan seperti Amerika Syarikat atau Israel.

Undang-undang itu akan terpakai kepada semua warga Iran yang tinggal di dalam dan di luar negara.

Pegawai negara dan pihak berkuasa kerajaan dikecualikan daripada larangan itu.

Individu yang melanggar undang-undang itu bakal berdepan hukuman "Tahap 6" di bawah Kanun Keseksaan Islam Iran, termasuk enam bulan hingga dua tahun penjara, denda kewangan, sebatan mengikut budi bicara atau pelucutan hak sosial dan sivil tertentu.

Kerajaan Iran menegaskan bahawa beberapa media beroperasi sebagai senjata perisikan negara musuh dan kerjasama dengan mereka menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

Organisasi hak asasi manusia antarabangsa bagaimanapun mengkritik larangan tersebut sebagai percubaan untuk mengehadkan akses kepada media bebas dan menyekat pelaporan mengenai perkembangan berkaitan perang.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement