SEPANG: Penampilan sulung skuad padel kebangsaan pada pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 melakar sejarah tersendiri, apabila berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara.
Dalam aksi final yang berlangsung selama 55 minit pada 3 Okt, gandingan beregu lelaki negara Christian Didier Chin dan Aidan Khairuddin Yunus, mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur kepada pilihan utama dari Qatar.
Mengimbau laluan berliku sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir, pasangan duo negara itu mengakui terpaksa memberikan tentangan maksimum, ketika pusingan separuh akhir.
“Kita berjuang habis-habisan pada separuh akhir menentang Iran. Kami hampir tewas dan tersingkir, pada masa itu kami berjuang bersungguh-sungguh untuk negara dengan segala yang kami ada,” kata pasangan itu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Christian Didier berkata keghairahan melakar kejutan pada pentas akhir bagaimanapun memakan diri, apabila kekurangan pengalaman skuad negara dihukum oleh ketenangan dan kehebatan taktikal pasangan adik-beradik dari Qatar itu.
“Sebenarnya, saya sudah menangis kerana berasa sangat bangga kita dapat pergi ke final dan ada harapan untuk menang.
“Memandangkan kami sangat dahagakan kemenangan namun kurang berpengalaman, pasangan adik-beradik itu mengambil peluang tersebut untuk menghukum kami,” kata mereka.
Pasangan negara tewas di tangan gandingan adik-beradik Mashari Naif dan Rashed Naif dengan keputusan 0-2 (3-6, 1-6), kejayaan melangkah ke pentas akhir pada edisi pertama sukan padel dipertandingkan di temasya sukan terbesar Asia itu, disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.
Keunikan gandingan ini turut mencuri tumpuan, kerana mereka memiliki asas sukan yang berbeza, di mana Aidan mempunyai latar belakang dalam sukan skuasy manakala rakan sepasukannya Christian, merupakan bekas pemain tenis.
“Saya rasa latar belakang tersebut memang membantu, tetapi ia lebih daripada itu. Ia mengenai kesungguhan, keyakinan dan semangat sepasukan kami, serta cara kami bekerjasama, berkomunikasi dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Justeru, saya percaya kejayaan merangkul pingat perak dalam kejohanan ini, berkat sokongan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beregu padel negara, bertekad melakar kebangkitan dengan meletakkan sasaran memburu kilauan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2027.
Aidan berkata selepas sekadar berpuas hati dengan pingat perak dalam penampilan mereka baru-baru ini, regu tersebut menyifatkan diri mereka lebih ‘dahaga’ menakluk pentas Asia Tenggara.
“Sasaran kami di Sukan SEA 2027 ialah emas. Emas untuk Malaysia. Memandangkan kami hanya meraih perak kali ini, untuk temasya akan datang, ia mesti emas,” katanya.
Tidak terus dibuai dengan pencapaian itu, pasangan ini menegaskan bahawa fokus utama kini terarah kepada persiapan fizikal dan taktikal yang lebih rapi bagi memastikan impian tersebut direalisasikan.
Sementara itu Presiden Persatuan Padel Malaysia (MPA) Yang Mulia Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tan Sri Tengku Abdullah, menyifatkan kejayaan ini sesuatu yang amat membanggakan, apabila pasukan negara terpaksa berdepan laluan berliku dengan menumbangkan beberapa negara kuat sebelum melangkah ke pentas akhir.
“Kita pun tidak sangka dapat masuk ke final. Perlawanan pertama menentang Kazakhstan agak sukar kerana mereka telah menewaskan beregu kedua Qatar, namun Alhamdulillah kita berjaya menewaskan mereka. Selepas itu, kita berdepan Filipina dan kemudiannya Iran, yang kesemuanya merupakan negara-negara kuat.
“Saya amat bangga dengan pasukan Malaysia. Mereka membuat persiapan yang rapi dan bermain dengan sangat baik secara berpasukan,” katanya.
Beliau berkata pasukan negara turun beraksi dengan status underdog selain sukan itu yang masih baharu di tanah air, gandingan beregu negara juga baru sahaja dibentuk.
“Mereka bermain sebagai beregu tidak lama, hanya dalam tempoh tiga ke empat bulan sahaja. Alhamdulillah, mereka mempunyai sinergi serta keserasian dan memang boleh pergi jauh. Walaupun berada di bawah tekanan, mereka berjaya bermain dengan sangat cemerlang pada tahap itu,” katanya.
Susulan pencapaian bersejarah tersebut, beliau memaklumkan bahawa pihak persatuan dan atlet akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.
“Kita ada menerima panggilan daripada pihak MSN dan akan berjumpa dengan mereka. MSN mahu bertemu dengan persatuan dan pemain, untuk membincangkan hala tuju dan perancangan selepas kejayaan meraih pingat ini,” katanya.
-- BERNAMA