Iran nafi hukuman mati ketika Trump ancam ambil tindakan tegas

Araghchi turut mendakwa keadaan di Iran kembali tenang, dengan kerajaan berada dalam "kawalan penuh." - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Rabu menafikan dakwaan yang pihak berkuasa negaranya merancang untuk melaksanakan hukuman gantung terhadap penunjuk perasaan selepas beberapa minggu tercetusnya ketegangan, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Iran menafikan rancangan hukuman gantung terhadap penunjuk perasaan, menegaskan keadaan negara kembali tenang.
- Presiden AS mengancam tindakan tegas jika Iran laksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.
- Iran menolak laporan 12,000 kematian dalam protes sebagai "kempen maklumat palsu," anggarkan jumlah sebenar mungkin diumumkan tidak lama lagi.
Araghchi turut mendakwa keadaan di Iran kembali tenang, dengan kerajaan berada dalam "kawalan penuh."
"Kami berdepan dengan satu operasi keganasan berskala besar sebagai kesinambungan daripada perang 12 hari ke atas kami oleh Israel dan Amerika.
"Jadi hari ke-13 perang ialah 8 Jan ... Kami berada di tengah-tengah peperangan dan kini selepas tiga hari operasi keganasan, keadaan kini tenang," katanya.
Pegawai Iran menuduh AS dan Israel menyokong "rusuhan" dan "keganasan" di tengah-tengah protes itu.
Menolak laporan yang mendakwa lebih 12,000 kematian berlaku semasa protes sebagai "tidak berasas" dan sebahagian daripada "kempen maklumat palsu," menteri luar itu sebaliknya menegaskan yang jumlah kematian adalah dalam "ratusan."
Apabila ditanya berapa ramai penunjuk perasaan yang maut, Araghchi berkata angka tepat akan "diumumkan tidak lama lagi, mungkin malam ini" oleh kerajaan Iran.
Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan angka rasmi mengenai jumlah kematian atau tahanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


