Polis buru tiga lelaki larikan peti besi 100 kilogram

Polis memburu tiga lelaki dipercayai melarikan sebuah peti besi selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Hillview, Hulu Klang, yang menyebabkan mangsa kerugian RM2 juta. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis memburu tiga lelaki dipercayai melarikan sebuah peti besi selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Hillview, Hulu Klang, dekat sini yang menyebabkan mangsa kerugian RM2 juta, 26 Dis tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima laporan pada hari kejadian sebelum mengesan rakaman video menunjukkan tiga suspek memikul peti besi itu pada 9.30 pagi semalam.
"Laporan polis dibuat pada 12.15 tengah hari oleh seorang pekerja di rumah itu selepas mendapati pintu belakang bahagian dapur rumah tercabut ketika datang untuk mengecas bateri kereta elektrik milik majikannya.
"Pemeriksaan mendapati sebuah peti besi hilang dari bilik tidur utama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Anuar berkata polis telah menahan enam warga asing termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan, namun soal siasat mendapati kesemua individu itu tidak terlibat dalam kes tersebut.
Beliau berkata polis kini giat mengesan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, rakaman video CCTV berdurasi 38 saat memaparkan tiga lelaki bertopi memikul objek disyaki peti besi dianggarkan seberat 100 kilogram di sebuah rumah tular di media sosial.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


