DUNIA
Iran tegaskan AS perlu elak serangan baharu sebelum rundingan disambung

Takht-Ravanchi turut menegaskan bahawa Iran akan terus mempertahankan haknya untuk memperkayakan uranium bagi tujuan damai. - Foto X/@kuna_en
TEHRAN: Iran menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) mesti mengelak sebarang serangan lanjut ke atas wilayahnya sekiranya Washington benar-benar mahu menyambung semula rundingan diplomatik, menurut kenyataan Timbalan Menteri Luar Iran, Majid Takht-Ravanchi, dalam wawancara bersama BBC.
Takht-Ravanchi berkata bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump telah menyampaikan hasrat untuk kembali ke meja rundingan melalui perantara, namun belum menyatakan pendirian jelas berhubung isu serangan ketenteraan yang masih berterusan.
“Kami tidak akan memulakan sebarang rundingan selagi serangan diteruskan. Ini bukan asas yang sah untuk diplomasi,” katanya.
Rundingan pusingan keenam yang dijadualkan berlangsung di Muscat pada 15 Jun lalu terbatal selepas Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Iran, yang kemudian disusuli dengan serangan udara oleh AS ke atas tiga tapak nuklear utama: Fordow, Natanz dan Isfahan.Takht-Ravanchi turut menegaskan bahawa Iran akan terus mempertahankan haknya untuk memperkayakan uranium bagi tujuan damai.
“Tahap dan kapasiti boleh dibincangkan, tetapi untuk mengatakan kami tidak boleh memperkayakan langsung dan jika tidak setuju, kami akan dibom - itu undang-undang rimba,” ujarnya.
Hubungan Iran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga semakin tegang selepas Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan badan tersebut, mendakwa IAEA berpihak kepada AS dan Israel.
Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan untuk rundingan baharu, dan Takht-Ravanchi mengakui bahawa agenda perbincangan juga belum dimuktamadkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami