Skip to main content

Malaysia

Minat jadi perniagaan: Veteran TLDM cipta jam tangan edisi terhad

bertemakan ‘Johorean’ khusus bagi penggemar dan pengumpul jam tangan edisi terhad.  Bermula daripada seutas jam tangan yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, minatnya terhadap aksesori penunjuk masa itu kini berkembang menjadi sumber pendapatan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jeffri menunjukkan jam tangan baharu yang dihasilkannya bertemakan ‘Johorean’ khusus bagi penggemar dan pengumpul jam tangan edisi terhad. - Gambar Bernama

BATU PAHAT: Bermula daripada seutas jam tangan yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, minat seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhadap aksesori penunjuk masa itu kini berkembang menjadi sumber pendapatan.

Jeffri Mansor, 59, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Waran I TLDM berkata Sultan Mizan berkenan mengurniakan jam tangan berjenama Submarine itu kepadanya sebagai tanda penghargaan selepas lima tahun berkhidmat mengiringi baginda dari 2006 hingga 2011.

Advertisement

“Pada awalnya saya hanya mengumpul jam tangan. Namun, kesukaran mendapatkan jam tangan edisi khas mendorong saya untuk menghasilkan sendiri.

“Jam tangan edisi terhad pertama dihasilkan pada 2017, bukan sahaja untuk memenuhi minat peribadi tetapi juga sebagai koleksi dalam kalangan rakan veteran serta pegawai dan anggota TLDM,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Kampung Parit Karjo, Parit Raja baru-baru ini.

Sejak menceburi bidang tersebut, beliau telah menghasilkan lebih 30,000 unit jam tangan, dengan setiap keluaran edisi khas dihadkan pada 500 unit sahaja.

Setiap jam tangan yang dihasilkan menampilkan corak atau logo khusus mengikut agensi atau pertubuhan yang membuat tempahan, termasuk TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jeffri berkata beliau turut menerima tempahan khas daripada Alumni Sekolah Tinggi Kluang, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Batalion Malaysia (MALBATT), Pasukan Khas Laut (PASKAL) serta beberapa pertubuhan lain, termasuk pelanggan dari Singapura.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan membuat tempahan khas dengan beliau, selain beberapa lagi orang kenamaan, antaranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menempah jam model Submarine TP1328 keluaran eksklusif edisi terhad.

Jam yang diimport dari Amerika Syarikat itu merupakan sebahagian daripada koleksi bercorak celoreng digital TDM.

Menurut Jeffri yang juga wakil pengedar tunggal Submarine Professional Time di Malaysia, pihaknya mengedarkan pelbagai model jam tangan dengan rekaan celoreng yang disesuaikan mengikut tema pasukan badan beruniform di negara ini.

Terbaharu, beliau menghasilkan jam edisi khas "Johorean" khusus untuk "Bangsa Johor" dengan hanya 750 unit dikeluarkan.

Jeffri, yang mendapat sokongan padu daripada isterinya, Roslina Abdul Rahman, 46, berkata cabaran dan kegagalan yang dilalui tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan jam tangan tempahan khas.

-- BERNAMA

Must Watch Video