KUALA LUMPUR: Ketika dunia menanti kemungkinan rundingan baharu dengan Washington, Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian tampil dengan mesej tegas bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan dan kekerasan.
Nada tegas itu dijangka turut dibawa Pezeshkian ketika menyampaikan ucapan pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami telah beberapa kali berada di meja rundingan dan bersama-sama menandatangani perjanjian.
“Namun, seluruh dunia melihat bagaimana mereka dengan begitu mudah menginjak-injak perjanjian tersebut,” katanya kepada pemberita di Tehran sebelum berlepas ke New York hari ini.
Menurutnya, keamanan dunia hanya dapat dicapai sekiranya hak setiap manusia dan negara dihormati, bukannya melalui penggunaan kekerasan untuk memaksa pihak lain tunduk.
Beliau turut mengecam serangan terhadap orang awam di Gaza, Palestin, Syria, Yaman dan Iran yang didakwanya dilakukan menggunakan teknologi canggih serta kecerdasan buatan.
“Malangnya, jenayah itu pula digambarkan sebagai tindakan memerangi pengganas. Adakah murid sekolah kami yang tidak berdosa di Minab itu pengganas?
“Mereka menyerang rumah, hospital dan pelbagai pusat. Adakah semua tempat itu mempunyai kaitan dengan pengganas?” soalnya.
Pezeshkian merujuk serangan terhadap Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh di Minab pada 28 Februari lalu yang menurut pegawai Iran mengorbankan lebih 150 orang, termasuk kira-kira 120 murid.
Beliau turut menuduh Amerika Syarikat menyekat akses media bagi menghalang kekejaman yang didakwa dilakukan negara itu daripada dilihat dan didengar masyarakat antarabangsa.
Pezeshkian mendakwa pelbagai tekanan kini dikenakan terhadap Iran selepas tindakan ketenteraan gagal memaksa republik itu menyerah.
“Mereka menyekat laluan udara dan darat, mahu mencetuskan perpecahan dalaman, menggunakan media serta mengeksploitasi segala kelemahan yang mungkin kami miliki untuk melemahkan kami dari dalam,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau yakin segala usaha itu dapat digagalkan menerusi perpaduan rakyat Iran di bawah kepimpinan Pemimpin Tertinggi negara tersebut.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata Perhimpunan Agung PBB akan digunakan untuk membawa penderitaan rakyat Iran, termasuk pembunuhan murid sekolah di Minab, kepada perhatian dunia.