BAGHDAD: Iraq memulakan semula eksport minyak mentah melalui Syria apabila satu konvoi melibatkan 70 lori tangki minyak Iraq melalui lintasan sempadan al‑Yarubiyah, menandakan penggunaan semula laluan itu buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun.
Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, konvoi berkenaan sedang dalam perjalanan ke kilang penapisan Baniyas di pantai Mediterranean Syria.
Advertisement
Pegawai Syria di lintasan al‑Yarubiyah, Feras Rustum, berkata pembukaan semula laluan tersebut selepas lebih sedekad merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara Iraq dan Syria.
“Keputusan membuka semula lintasan ini akan memudahkan penghantaran komersial dan tenaga secara lebih berkesan, selain membuka jalan kepada perkongsian jangka panjang antara kedua-dua negara,” katanya.
Eksport itu dilakukan ketika Iraq mencari laluan alternatif bagi penghantaran minyaknya susulan penutupan Selat Hormuz di tengah konflik berterusan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Lintasan al‑Yarubiyah, yang dikenali sebagai Rabia di sebelah Iraq, ditutup selepas perang saudara Syria tercetus pada 2011.
Kawasan itu kemudiannya dikuasai kumpulan Daesh pada 2014 sebelum dirampas semula oleh pasukan Kurdish Iraq.
Penggunaan semula laluan darat itu dilihat berpotensi memberi kelegaan kepada rantaian bekalan tenaga serantau serta memperkukuh kerjasama ekonomi Iraq–Syria dalam situasi geopolitik yang semakin mencabar.