DUNIA
Ireland sahkan musim panas 2025 paling hangat dalam rekod

Musim panas 2025 buat sementara waktu telah mengatasi musim panas 1995 sebagai yang paling panas dalam rekod Ireland, dengan suhu purata 16.19 Celsius. - Gambar hiasan/Bernama
LONDON: Musim panas 2025 sebagai yang terpanas, pernah direkodkan di Ireland sejak catatan bermula pada 1900, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi cuaca negara itu pada Rabu.
Dalam kenyataan, Met Eireann, perkhidmatan meteorologi Ireland, berkata musim panas tahun ini mengatasi rekod terdahulu dengan lebihan 0.08 darjah Celsius (C).
"Musim panas 2025 buat sementara waktu telah mengatasi musim panas 1995 sebagai yang paling panas dalam rekod Ireland, dengan suhu purata 16.19 C, iaitu 1.94 C melebihi purata jangka panjang (LTA) Ireland dan sedikit lebih panas (0.08 C) berbanding musim panas paling panas sebelum ini pada 1995," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, pakar klimatologi Met Eireann, Paul Moore berkata walaupun musim panas ini tidak terlalu cerah, tanah kering hasil musim bunga yang panas dan cerah, fenomena "heat dome" di tanah besar Eropah, tempoh dominasi tekanan tinggi serta suhu permukaan laut yang tinggi di sekitar Ireland telah mengekalkan suhu tiga bulan kebelakangan ini konsisten melebihi paras purata."Ia perbezaan tipis dengan rekod musim panas 1995, kerana purata suhu musim panas 2025 hanya mengatasi 1995 sebanyak 0.08 C, meskipun mengambil kira penurunan suhu yang dicatat pada minggu terakhir Ogos," tambahnya.
Menurut Met Eireann, enam daripada 10 musim panas paling panas di Ireland berlaku dalam tempoh dua dekad lalu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami