Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran sahkan serangan ke atas fasiliti industri AS di UAE, Bahrain

People walk near Iranian missiles in a park, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 26, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
IRGC mendakwa telah membedil beberapa tapak pengeluaran keluli di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta fasiliti aluminium di Bahrain. -Gambar fail/Reuters

DUBAI: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) hari ini mengesahkan telah melancarkan serangan terbaharu menyasarkan fasiliti industri yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk.

Menerusi kenyataan yang disiarkan media rasmi Iran, IRGC mendakwa telah membedil beberapa tapak pengeluaran keluli di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta fasiliti aluminium di Bahrain.

Advertisement

Serangan tersebut merupakan rentetan daripada siri bedilan yang dilakukan sepanjang hujung minggu lalu ke atas infrastruktur ekonomi di rantau berkenaan.

Pihak IRGC menyifatkan serangan itu sebagai satu amaran keras kepada Washington dan sekutunya supaya menghentikan sebarang provokasi terhadap sektor industri di Iran.

“Sekiranya serangan ke atas industri Iran berulang, tindak balas seterusnya akan menjadi jauh lebih menyakitkan dengan menyerang infrastruktur utama rejim penceroboh serta industri ekonomi Amerika di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Sejak konflik tercetus lebih sebulan lalu, IRGC telah berulang kali mengeluarkan ancaman untuk melumpuhkan aset dan infrastruktur milik AS di Teluk sebagai membalas tindakan ketenteraan pihak lawan.

Serangan terbaharu ini dilihat sebagai usaha Tehran untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap sekutu AS yang menempatkan pangkalan tentera serta kepentingan korporat negara Barat tersebut.

Setakat ini, pihak berkuasa di UAE dan Bahrain belum mengeluarkan laporan rasmi mengenai tahap kerosakan atau jumlah mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Perkembangan ini telah mencetuskan kebimbangan baharu mengenai kestabilan rantaian bekalan logam global serta keselamatan zon industri di Semenanjung Arab.
 

Must Watch Video