INTERNATIONAL
Israel akan meluaskan serangan ke sebahagian besar Gaza

Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan udara Israel yang memusnahkan sebuah rumah di kawasan Shejaia, Gaza City pada Khamis lalu. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Menteri Pertahanan Israel mengumumkan, tenteranya akan segera “meluaskan serangan dengan agresif” ke sebahagian besar wilayah Gaza.
Israel Katz turut berkata, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah selesai mengambil alih sebuah “zon keselamatan” di bahagian selatan Semenanjung Gaza, yang memisahkan bandar Rafah dan Khan Younis.
Tentera Israel juga mengeluarkan arahan pemindahan untuk penduduk Khan Younis dan kawasan sekitarnya dengan alasan ia sedang bersiap sedia melancarkan serangan balas terhadap pelancaran peluru dari Gaza, yang didakwa oleh Hamas sebagai tindakan mereka.
Israel menyambung semula serangan terhadap Hamas pada 18 Mac selepas gencatan senjata selama dua bulan gagal dipertahankan.Sejak itu, Israel telah menguasai kawasan besar di Gaza menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza terpaksa berpindah sekali lagi.
Tentera Israel telah pun menguasai kawasan di sepanjang keseluruhan sempadan wilayah Palestin itu yang digambarkannya sebagai zon penampan bagi mencegah serangan.
Pegawai-pegawai Israel berkata, serangan berterusan ini bertujuan memberi tekanan kepada Hamas agar membebaskan 59 tebusan yang masih ditahan di Gaza - 24 daripadanya dipercayai masih hidup.
Pada Sabtu, Katz berkata, IDF telah selesai mengambil alih “paksi Morag” - merujuk kepada bekas penempatan Yahudi yang terletak di antara Rafah dan Khan Younis.
Beliau mendakwa, ini “menjadikan seluruh kawasan antara paksi Philadelphia dan Morag sebagai sebahagian daripada zon keselamatan Israel.”
Penguasaan koridor tersebut secara efektif memisahkan bandar Rafah di selatan daripada Khan Younis. Rafah merangkumi hampir satu perlima daripada Gaza.
Katz turut memberi amaran “aktiviti IDF akan segera diperluas secara agresif ke lokasi tambahan di seluruh sebahagian besar Gaza” dan penduduk di kawasan berkenaan “perlu berpindah dari zon pertempuran.”
“Inilah saat terakhir untuk menyingkirkan Hamas, membebaskan para tebusan dan menamatkan perang ini,” katanya memberi amaran.
Beliau menambah, kawasan di utara Gaza, termasuk bandar Beit Hanoun dan Koridor Netzarim - yang merentasi Gaza tengah - juga sedang dikosongkan supaya “zon keselamatan” boleh diperluas di situ.
“Di utara Gaza juga - di Beit Hanoun dan kawasan kejiranan lain - penduduk sedang berpindah, kawasan itu sedang diambil alih dan zon keselamatan sedang diperluaskan, termasuk di koridor Netzarim,” kata Katz.
Apabila diminta mengulas, IDF merujuk media kepada kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan.
Hamas pula berkata, dalam kenyataan yang dipetik agensi berita AFP, bahawa serangan ini bukan sahaja “membunuh orang awam yang tidak bersenjata” tetapi juga menjadikan nasib para tebusan “tidak menentu.”
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bulan lalu bahawa arahan pemindahan yang dikeluarkan tidak mematuhi undang-undang antarabangsa dan menuduh Israel gagal menyediakan penginapan, kebersihan, penjagaan kesihatan, keselamatan dan makanan yang mencukupi kepada mereka yang terjejas.
Kerajaan Israel pula menyatakan, pemindahan penduduk adalah untuk melindungi mereka daripada bahaya dan daripada digunakan oleh Hamas sebagai “perisai manusia” yang merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Selepas pengumuman Katz, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan untuk penduduk bandar Khan Younis di selatan dan kawasan sekitarnya, dengan menyatakan mereka sedang bersedia untuk membalas serangan peluru yang dilancarkan dari Gaza awal Sabtu.
IDF berkata, sistem pertahanan udaranya telah memintas tiga peluru yang dilancarkan dari Gaza ke wilayah Israel.
Sayap tentera Hamas kemudiannya mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, namun, tiada kecederaan dilaporkan.
Di Gaza, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, setakat Sabtu, seramai 21 orang telah terbunuh dalam tempoh 24 jam sebelumnya, manakala 64 lagi cedera.
Tentera Israel melancarkan kempen untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan yang belum pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 orang lagi diculik.
Sejak itu, lebih 50,933 orang telah terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.
Daripada jumlah itu, 1,563 orang telah terbunuh sejak 18 Mac, apabila Israel memulakan semula serangan di Gaza, kata kementerian itu. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami