PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan supaya pengurusan skuad Harimau Malaya dikembalikan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai sebahagian daripada syor reformasi hasil audit terhadap badan induk bola sepak negara itu.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John berkata cadangan berkenaan telah dimasukkan dalam rekomendasi yang dikemukakan kepada FAM menerusi audit tadbir urus yang dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) FAM di sini, hari ini.
Beliau berkata cadangan itu bertujuan memastikan pengurusan pasukan kebangsaan berada di bawah struktur pentadbiran yang jelas menerusi jawatankuasa pasukan kebangsaan FAM.
“Pulang balik kepada FAM. Jawatankuasa pasukan kebangsaan yang perlu menguruskan, maknanya FAM yang kena uruskan, macam dululah,” katanya ketika ditemui pemberita pada EGM FAM di sini hari ini.
Sebelum ini, pengurusan pasukan kebangsaan melalui proses penstrukturan semula, menyaksikan penglibatan pihak pengurusan profesional dengan Rob Friend dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya bagi membantu memperkukuh operasi dan pembangunan skuad negara.
Terdahulu, AFC membentangkan laporan audit terhadap pentadbiran FAM yang turut menjadi asas kepada cadangan pindaan statut bagi memperkukuh tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
Pindaan statut yang dicadangkan AFC kemudian diluluskan sebulat suara oleh ahli gabungan FAM.
Antara cadangan utama termasuk pemansuhan jawatan Timbalan Presiden, pengurangan jumlah Naib Presiden kepada tiga orang serta penstrukturan semula Jawatankuasa Eksekutif (exco) FAM.
Laporan audit itu turut mendapati kebanyakan aspek operasi FAM berada pada Tahap 2 (Pra-Pertengahan), sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pelbagai bidang pentadbiran dan pengurusan organisasi.
Penilaian tersebut meliputi 11 bidang utama termasuk tadbir urus dan perundangan, pentadbiran, kewangan, sumber manusia, infrastruktur, komunikasi, pemasaran, pembangunan komersial, advokasi, pertandingan dan pembangunan prestasi.
-- BERNAMA