ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan larangan membawa masuk botol minuman, termasuk botol kitar semula, ke dalam stadium sepanjang Piala Dunia 2026.
Keputusan itu dibuat menerusi kemas kini kod tatacara stadium yang berkuat kuasa awal bulan ini bagi kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Menurut FIFA, langkah tersebut diambil atas faktor keselamatan bagi mengelakkan risiko kecederaan sekiranya objek seperti botol digunakan sebagai objek balingan.
“FIFA komited untuk melindungi keselamatan semua pemain, pegawai dan penyokong.
"Keputusan ini dibuat bagi mengurangkan risiko kecederaan di dalam stadium,” menurut kenyataan badan induk itu.
Selain botol, beberapa jenis bekas lain termasuk cawan, tin dan balang turut dilarang dibawa masuk ke dalam venue perlawanan.
Sebagai alternatif, penyokong boleh mendapatkan minuman yang dijual di dalam stadium atau menggunakan kemudahan seperti stesen hidrasi yang disediakan di sekitar kawasan perlawanan.
Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong berhubung kos minuman serta akses kepada air, terutama dalam keadaan cuaca panas di beberapa lokasi penganjuran.