TEL AVIV: Tentera Udara Israel mengesahkan lebih 1,200 peluru berpandu dan bom telah digugurkan ke atas pelbagai sasaran di Iran dalam tempoh 24 jam lalu dalam operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS).
Antara lokasi paling terjejas ialah sebuah sekolah rendah perempuan di bandar Minab, wilayah Hormozgan, yang mengakibatkan lebih 100 kematian, manakala puluhan lagi cedera parah.
Advertisement
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam satu kenyataan mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai pembunuhan kejam terhadap ratusan kanak-kanak yang tidak berdosa.
The destroyed building is a primary school for girls in the south of Iran. It was bombed in broad daylight, when packed with young pupils.
Dozens of innocent children have been murdered at this site alone.
These crimes against the Iranian People will not go unanswered. pic.twitter.com/AVqiuolgWm— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) February 28, 2026
Beliau menegaskan bahawa serangan ke atas institusi pendidikan tersebut merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang nyata dan memberi amaran bahawa tindakan itu tidak akan dibiarkan tanpa sebarang pembalasan setimpal daripada pihak Tehran.
Dakwaan mengenai skala serangan yang besar ini muncul ketika kedaulatan ruang udara Iran terus dicabuli oleh jet-jet pejuang sekutu yang menyasarkan infrastruktur strategik dan pusat pemerintahan.
Tentera Israel berkata operasi berskala besar itu bertujuan melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan nuklear Iran sepenuhnya.
Bagaimanapun, laporan mengenai kematian orang awam di sekolah Minab telah mencetuskan kemarahan di seluruh Republik Islam itu dan mengukuhkan tekad pemimpin negara tersebut untuk melancarkan serangan balas.
Situasi kemanusiaan di wilayah selatan Iran kini dilaporkan semakin meruncing dengan pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mencari mangsa di bawah runtuhan sekolah yang musnah sepenuhnya.