INTERNATIONAL
Israel hadkan akses penganut Kristian ke sambutan Holy Saturday di Baitulmaqdis

Pihak berkuasa Israel didakwa mendirikan sekatan di jalan-jalan menuju ke gereja di Kota Lama. - Gambar fail/ Reuters
ISTANBUL: Pihak berkuasa Israel pada Sabtu menyekat akses penganut Kristian ke Gereja Holy Sepulchre di Baitulmaqdis yang diduduki apabila mereka cuba menyambut "Holy Saturday" (Holy Fire).
Pihak berkuasa Israel didakwa mendirikan sekatan di jalan-jalan menuju ke gereja di Kota Lama, memeriksa kad pengenalan dan menghalang ramai golongan muda daripada memasuki kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Pihak berkuasa Israel melarang ribuan penganut Kristian dari Tebing Barat daripada memasuki Baitulmaqdis dengan mengenakan syarat permit yang ketat ke atas warga Palestin beragama Islam dan Kristian.
Sumber gereja memaklumkan kepada Wafa bahawa hanya 6,000 permit dikeluarkan untuk penganut Kristian dari Tebing Barat tahun ini, meskipun jumlah komuniti itu di wilayah Palestin dianggarkan sekitar 50,000 orang.Dalam satu kenyataan oleh Jawatankuasa Presiden Tertinggi bagi Hal Ehwal Gereja di Palestin, yang dipengerusikan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif PLO, Ramzi Khouri, jawatankuasa itu mengecam keras tindakan "pihak berkuasa penjajah Israel kerana mengenakan sekatan meluas terhadap penganut Kristian dan pelawat asing sepanjang sambutan Holy Saturday di Baitulmuqaddis yang diduduki."
"Pasukan Israel mendirikan sekatan dan mengenakan sekatan ketat di seluruh Kota Lama, menghalang ramai penganut Kristian Palestin dan jemaah luar daripada sampai ke 'Gereja Holy Sepulchre'," menurut kenyataan itu.
Lebih membimbangkan, pihak berkuasa Israel turut menolak kemasukan Delegasi Apostolik dan Duta Vatican ke Palestin, Biskop Adolfo Tito Yllana, satu tindakan yang melanggar protokol diplomatik dan konvensyen antarabangsa.
"Sekali lagi, penjajah Israel telah mengubah acara rohani ini menjadi satu penderitaan, menghalang jemaah dan mengenakan sekatan keras," menurut jawatankuasa itu lagi.
Jawatankuasa itu turut memetik laporan pertubuhan hak asasi manusia yang mendokumentasikan insiden serangan fizikal dan penahanan sewenang-wenangnya terhadap jemaah, termasuk penganut Kristian dari Baitulmaqdis, semasa acara berlangsung.
Mereka menyeru tindakan segera antarabangsa, dan merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan hak asasi manusia global, gereja dan institusi Kristian di seluruh dunia untuk campur tangan.
"Komuniti antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap tindakan penindasan dan diskriminasi ini. Kebebasan beragama di Baitulmuqaddis mesti dipertahankan untuk warga Kristian dan Muslim Palestin," menurut jawatankuasa itu.
Buat tahun kedua berturut-turut, penyertaan dalam upacara Holy Week dan Easter merosot secara ketara susulan serangan berterusan Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Gereja-gereja turut mengehadkan sambutan Easter dengan menangguhkan acara perarakan dan menumpukan hanya kepada upacara keagamaan dan doa.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami