DUNIA
Israel lancar gelombang serangan udara baharu ke atas Gaza

Sebuah dron kelihatan terbang di ruang udara utara Semenanjung Gaza, dirakam dari selatan Israel. - Foto AP
GAZA: Israel telah melancarkan satu lagi gelombang serangan udara besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza, menyasarkan kawasan kediaman, kemudahan awam dan pusat pengagihan bantuan, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sekurang-kurangnya 105 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 530 cedera dalam tempoh 24 jam terakhir.
Serangan terbaru ini berlaku di tengah-tengah rundingan gencatan senjata yang masih belum mencapai kata putus.
Di Khan Younis, serangan malam menyebabkan kematian tiga cucu kepada seorang nenek Palestin, Umm Mohammed Shaaban, yang mempersoalkan masa pengumuman gencatan senjata: “Selepas mereka habiskan kami, baru mereka kata mahu berdamai?” katanya, memetik laporan Al Jazeera.Hospital di Gaza kini berdepan kekurangan bekalan bahan api kritikal, menyebabkan sistem sokongan hayat dan peralatan perubatan tidak berfungsi.
Rakaman dari Kompleks Perubatan Nasser menunjukkan doktor berpeluh tanpa kipas atau pendingin udara ketika menjalankan pembedahan kecemasan.
Di kawasan Jaffa Street, Gaza City, saksi melaporkan lebih 20 bom dijatuhkan oleh tentera Israel, termasuk “bom gempa” yang menggoncang bangunan.
Sebuah bangunan empat tingkat dilaporkan runtuh sepenuhnya tanpa sebarang amaran awal.
Amnesty International mengutuk cadangan Israel untuk memindahkan penduduk Gaza ke “bandar kemanusiaan” di atas runtuhan Rafah, menyifatkannya sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan berpotensi menjadi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Sementara itu, Hamas mendakwa Israel telah memusnahkan lebih 1,000 rumah di Tebing Barat tahun ini sahaja, dan menyeru tindakan antarabangsa untuk menghentikan “penjajahan dan jenayah perang”.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Qassam, mendakwa telah menyerang pasukan Israel di Abasan al-Kabira, Khan Younis, menggunakan peluru berpandu al-Yassin 105 dan senjata ringan.
Mereka mendakwa berjaya membunuh seorang anggota tentera Israel dan merampas senjatanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah kematian akibat perang sejak Oktober 2023 telah mencecah 57,575 orang, manakala 136,879 lagi cedera.
Kebanyakan mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami