Skip to main content

Dunia

30 maut dalam rempuhan di tapak UNESCO Haiti

People visit the Citadelle Laferriere, a fortress from the early 1800s commonly known as La Citadel in Milot, Haiti April 26, 2024. REUTERS/Ricardo Arduengo/File Photo
Tragedi itu berlaku ketika ratusan pengunjung, yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar, berkumpul bagi menyertai acara sambutan tahunan di kubu bersejarah abad ke‑19 berkenaan. -Gambar fail/Reuters

MILOT: Sekurang‑kurangnya 30 orang dilaporkan maut manakala puluhan lagi cedera dalam satu kejadian rempuhan di tapak pelancongan bersejarah Citadelle Laferrière di utara Haiti, hari ini.

Tragedi itu berlaku ketika ratusan pengunjung, yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar, berkumpul bagi menyertai acara sambutan tahunan di kubu bersejarah abad ke‑19 berkenaan.

Advertisement

Menurut laporan awal, keadaan menjadi tidak terkawal di pintu masuk utama tapak warisan dunia UNESCO itu apabila berlaku panik dalam kalangan orang ramai, yang diburukkan lagi oleh hujan lebat secara tiba‑tiba.

Beberapa saksi mendakwa kejadian rempuhan tercetus selepas pihak polis menggunakan gas pemedih mata bagi meleraikan satu pergaduhan berhampiran lokasi berkenaan, namun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pasukan perlindungan awam tempatan mengesahkan jumlah korban setakat ini mencecah 30 orang, namun angka tersebut dikhuatiri meningkat memandangkan ramai mangsa yang dikejarkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal.

Perdana Menteri Haiti, Alix Didier Fils‑Aimé, dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita atas tragedi tersebut dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta sebarang kelemahan dalam pengurusan keselamatan di tapak berkenaan.

Citadelle Laferrière yang terletak di puncak gunung di Milot merupakan simbol kemerdekaan Haiti dan destinasi pelancongan paling ikonik negara itu, yang lazimnya menerima ribuan pengunjung setiap tahun.

Kejadian berkenaan antara tragedi paling serius melibatkan sektor pelancongan Haiti ketika negara itu masih berdepan krisis ketidakstabilan politik dan ancaman keganasan kumpulan bersenjata yang berlarutan.

Must Watch Video