INTERNATIONAL
Israel lancar serangan udara di Beirut

Asap tebal kelihatan dari bangunan di Beirut, Lubnan yang diserang oleh Israel pada Ahad. - Gambar Reuters
BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara di kawasan selatan Beirut pada Ahad, selepas mengarahkan pemindahan sebuah bangunan yang didakwa digunakan kumpulan pejuang Hezbollah yang disokong Iran.
Serangan itu berlaku walaupun gencatan senjata yang dimeterai lima bulan lalu masih berkuat kuasa, yang sebelum ini menamatkan konflik antara Israel dan kumpulan bersenjata tersebut.
Tentera Israel mendakwa serangan tersebut menyasarkan simpanan peluru berpandu berpanduan tepat milik Hezbollah yang didakwa mengancam keselamatan Israel dan rakyatnya.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengecam serangan itu dan menggesa Amerika Syarikat (AS) serta Perancis - sebagai penjamin perjanjian gencatan senjata untuk memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan serangan ke atas negara itu.Serangan ini merupakan yang pertama dilancarkan Israel ke atas kawasan selatan Beirut - dikenali
sebagai Dahieh dalam tempoh hampir sebulan.
Kawasan tersebut merupakan kubu kuat Hezbollah.
Tindakan itu dijangka meningkatkan lagi tekanan terhadap perjanjian gencatan senjata, di mana Israel dilaporkan terus melancarkan serangan hampir setiap hari terhadap sasaran yang dikaitkan dengan Hezbollah, meskipun perjanjian damai masih berkuat kuasa.
Menurut pegawai Barat kepada BBC, kumpulan Hezbollah didapati mematuhi gencatan senjata secara keseluruhan, sementara Israel pula dituduh melakukan pelbagai pelanggaran termasuk serangan udara dan pemantauan menggunakan dron.
Rakaman langsung Reuters menunjukkan asap tebal kelihatan dari bangunan yang diserang kira-kira sejam selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan di kawasan kejiranan Hadath.
Menurut Pertahanan Awam Lubnan, tiada kematian direkodkan dan pasukan penyelamat berjaya memadamkan kebakaran.
Dalam kenyataan di platform X, Pejabat Presiden Lubnan menyatakan serangan itu memburukkan kestabilan serantau dan menggesa AS serta Perancis untuk memikul tanggungjawab mereka.
"Israel terus menggugat kestabilan dan ini akan meningkatkan ketegangan serta mendedahkan rantau ini kepada ancaman keselamatan yang serius," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, Israel tidak akan membenarkan Hezbollah mengukuhkan kedudukannya, sambil menyatakan Dahieh tidak akan menjadi 'tempat perlindungan' bagi organisasi tersebut.
Sementara itu, Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert menerusi kenyataan di X berkata, serangan itu mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk yang mendambakan keamanan dan menggesa semua pihak menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata.
Awal bulan ini, serangan udara Israel di kawasan selatan Beirut mengorbankan empat orang, termasuk seorang pegawai Hezbollah. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami