Skip to main content

Bisnes

Malaysia nilai potensi tenaga nuklear secara menyeluruh, utamakan keselamatan - Chang

Sumber: Chang Lih Kang
Chang berkata dalam menghadapi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta keperluan untuk beralih kepada sumber rendah karbon, Malaysia sedang menilai potensi teknologi itu secara menyeluruh.

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menilai potensi tenaga nuklear secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara, dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan, ketelusan serta penerimaan rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata tenaga nuklear semakin mendapat perhatian sebagai satu daripada pilihan dalam campuran tenaga negara.

Advertisement

Beliau berkata dalam menghadapi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta keperluan untuk beralih kepada sumber rendah karbon, Malaysia sedang menilai potensi teknologi itu secara menyeluruh.

Beliau berkata pendekatan yang diambil adalah jelas, iaitu tenaga nuklear bukan pengganti kepada sumber sedia ada seperti solar, hidro atau gas, tetapi sebagai pelengkap bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.

"Segala pertimbangan dibuat secara berhati-hati dan berasaskan bukti, melibatkan aspek keselamatan, kos, perundangan, pembangunan bakat serta penerimaan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi, di sini hari ini.

 

Chang berkata keutamaan kekal pada satu perkara, iaitu memastikan setiap langkah yang diambil adalah selamat, telus dan memberikan manfaat kepada negara.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video