DUNIA
Israel nafi sebabkan kebuluran di Gaza, tuduh Hamas sengaja 'atur krisis kelaparan'

Penduduk Palestin di Gaza kini sedang melalui krisis kebuluran yang sangat serius akibat perang berlanjutan oleh rejim Zionis. Bagaimanapun, Israel menafikan kebuluran yang tercetus akibat tindakan kejam mereka. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Kerajaan Israel menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa rejim itu bertanggungjawab terhadap kebuluran atau kekurangan makanan di Gaza, sebaliknya menuduh Hamas sebagai pihak yang “mengatur” krisis kelaparan yang sedang berlaku.
Jurucakap rasmi Israel, David Mencer mendakwa, tiada kebuluran yang berlaku akibat tindakan Israel.
“Di Gaza hari ini, tiada kebuluran yang disebabkan oleh Israel,” dakwanya dalam sidang media, pada Rabu
“Namun, ada kekurangan bekalan makanan yang berpunca daripada tindakan manusia – dan ia dirancang oleh Hamas. Malangnya, kebenaran ini sering tidak diceritakan sepenuhnya. Penderitaan itu wujud kerana Hamas yang menciptanya.”Lebih 100 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa sebelum ini telah menggesa Israel supaya membenarkan kemasukan sepenuhnya bekalan makanan dan air bersih ke Gaza.
Ketua Oxfam turut memberi amaran kepada CNN bahawa kebuluran besar bakal berlaku jika sekatan terhadap bantuan terus diteruskan.
Bagaimanapun, Mencer menolak kenyataan-kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai “amaran palsu.”
Dalam pada itu, Gaza Humanitarian Foundation (GHF) – organisasi bantuan yang disokong Israel dan Amerika Syarikat – turut mendakwa bahawa bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah “diseleweng dan dicuri” oleh Hamas serta pihak lain.
Laporan terbaharu PBB menyebut bahawa lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir Mei ketika cuba mendapatkan bantuan, termasuk ratusan yang maut berhampiran kawasan agihan GHF.
Namun GHF menolak angka tersebut dan menyifatkannya sebagai “palsu dan keterlaluan”, serta mendakwa data itu dipercayai berasal daripada Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak PBB dan pegawai Amerika Syarikat sebelum ini telah menyatakan bahawa angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza adalah konsisten dan boleh dipercayai. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami