INTERNATIONAL
Israel ragut 130 nyawa di Gaza, rundingan gencatan senjata masih buntu

Penduduk Palestin memeriksa lokasi penempatan mereka yang terkena serangan Israel di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, pada Ahad. - Gambar Reuters
BAITULMAQDIS: Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 130 rakyat Palestin di seluruh Gaza dalam tempoh semalaman, menurut pegawai kesihatan pada Ahad, ketika rundingan terbaharu antara Israel dan Hamas belum menunjukkan sebarang kemajuan walaupun melibatkan cadangan untuk menamatkan peperangan.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan, rundingan tidak langsung yang berlangsung di Doha merangkumi perbincangan mengenai gencatan senjata dan pertukaran tebusan serta cadangan menamatkan perang dengan syarat pejuang Hamas diasingkan ke luar Gaza dan kawasan itu dinyahpersenjataan - syarat yang telah ditolak Hamas sebelum ini.
Walaupun kenyataan itu selari dengan pendirian terdahulu Israel, pengumuman ketika rundingan sedang berlangsung memberikan sedikit harapan terhadap kemungkinan fleksibiliti dalam pendirian Israel.
Seorang pegawai kanan Israel berkata, tiada kemajuan dicapai setakat ini.Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters: “Pendirian Israel tidak berubah - mereka mahu tebusan dibebaskan tanpa sebarang komitmen untuk menamatkan perang.”
Hamas pula menegaskan, mereka hanya akan membebaskan semua tebusan Israel sekiranya perang ditamatkan, tentera Israel berundur, sekatan bantuan ke Gaza dihentikan, dan tahanan Palestin dibebaskan.
Serangan udara semalaman berlaku ketika Israel bersiap untuk melancarkan serangan darat baharu bagi mendapatkan "kawalan operasi" di beberapa kawasan di Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, seramai 464 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh seminggu sehingga Ahad berikutan peningkatan serangan udara Israel.
Angka 130 yang maut dalam serangan semalaman adalah tambahan kepada jumlah tersebut.
“Beberapa keluarga dipadam terus daripada rekod pendaftaran sivil akibat pengeboman Israel semalaman,” kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Khalil Al-Deqran, kepada Reuters melalui telefon.
Tentera Israel tidak mengeluarkan sebarang komen segera mengenai jumlah korban tersebut.
Sejak awal Mac, Israel menyekat sepenuhnya kemasukan bekalan perubatan, makanan dan bahan api ke Gaza dalam usaha memberi tekanan kepada Hamas agar membebaskan tebusan Israel.
Israel turut meluluskan rancangan untuk kemungkinan menguasai seluruh Gaza dan mengawal penghantaran bantuan.
Hospital lumpuh, rundingan Doha mungkin terjejas
Dalam perkembangan sama, media Israel dan Arab melaporkan, kemungkinan pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar yang terbunuh - sesuatu yang boleh merumitkan rundingan di Doha yang bermula Sabtu lalu.
Hamas setakat ini tidak mengesahkan atau menafikan laporan itu.
Kementerian Pertahanan Israel juga belum memberikan sebarang komen.
Petugas perubatan Gaza menyatakan, Zakaria Al-Sinwar - pensyarah sejarah dan abang kepada pemimpin Hamas itu masih hidup tetapi dalam keadaan kritikal, meskipun sebelum itu diletakkan di bilik mayat bersama tiga anaknya.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi selepas didapati masih bernafas.
“Hospital kini sesak dengan mangsa, kebanyakannya kanak-kanak,” ujar Deqran.
Di Israel, ibu kepada tebusan Hamas, Einav Zangauker, mengecam Perdana Menteri Netanyahu kerana enggan menamatkan perang demi membebaskan baki tebusan, dengan mendakwa ia berkait kepentingan politik.
“Kerajaan Israel masih mahu perjanjian separa. Mereka sengaja menyeksa kami. Pulangkan anak-anak kami! Kesemua 58 orang itu,” katanya dalam hantaran di platform X.
Khemah terbakar, hospital terbesar henti operasi
Salah satu serangan udara Israel semalaman mengenai kawasan khemah pelarian di Khan Younis, selatan Gaza, mengorbankan wanita dan kanak-kanak serta mencederakan puluhan yang lain. Beberapa khemah turut terbakar dalam serangan tersebut.
Menjelang petang Ahad, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan, Hospital Indonesia - antara kemudahan perubatan terbesar yang masih sebahagiannya berfungsi di utara Gaza - telah menghentikan operasi berikutan tembakan dari arah tentera Israel.
Tentera Israel menyatakan, operasi mereka menyasarkan “infrastruktur pengganas” di utara Gaza, termasuk kawasan berhampiran Hospital Indonesia.
Sistem kesihatan Gaza kini hampir lumpuh akibat serangan berulang ke atas hospital dan sekatan bantuan.
Keadaan diburukkan lagi dengan kelaparan yang semakin meluas. Israel menuduh Hamas mencuri bantuan, namun Hamas menafikan dakwaan itu.
Hospital Shifa, hospital terbesar di Gaza pula menyeru orang ramai agar menderma darah.
Pihak hospital menerima 40 mayat dan puluhan mangsa cedera akibat serangan berterusan.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin pula memaklumkan, 75 peratus ambulans tidak lagi berfungsi kerana kehabisan bahan api.
Mereka memberi amaran semua kenderaan mungkin terhenti sepenuhnya dalam masa 72 jam jika bekalan bahan api tidak dibenarkan masuk.
Israel menyatakan, objektif utama mereka adalah untuk menghapuskan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas, susulan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 rakyat Israel dan menculik sekitar 250 orang.
Sejak itu, kempen ketenteraan Israel telah memusnahkan hampir seluruh Gaza, menyebabkan hampir semua penduduk kehilangan tempat tinggal, dan mengorbankan lebih 53,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami