Skip to main content

Dunia

Isteri Maduro mohon tahanan rumah, dakwa masalah jantung semakin serius dalam tahanan AS

Venezuelan President Nicolas Maduro and his wife, Cilia Flores, wave after his third swearing-in ceremony in Caracas, Venezuela, on January 10, 2025 [Ariana Cubillos/AP Photo]
Bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, melambai kepada penyokong selepas majlis angkat sumpah penggal ketiga Maduro di Caracas, Venezuela, pada 10 Januari 2025. - Gambar fail AP
Advertisement

NEW YORK: Bekas Wanita Pertama Venezuela, Cilia Flores de Maduro memohon kepada mahkamah Amerika Syarikat (AS) supaya dibebaskan daripada tahanan Persekutuan dan dibenarkan menjalani tahanan rumah sementara menunggu perbicaraan berhubung beberapa pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.

Melalui permohonan pembebasan sebelum perbicaraan yang difailkan pada Rabu, pasukan peguamnya memohon mahkamah membenarkan Flores menunggu perbicaraan di bawah tahanan rumah di Manhattan.

Permohonan itu menyatakan keadaan kesihatan wanita berusia 69 tahun itu semakin merosot sejak operasi ketenteraan AS pada 3 Januari lalu yang membawa kepada penahanannya di Caracas sebelum dipindahkan ke New York bersama suaminya, bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Menurut dokumen mahkamah, sebelum operasi tersebut, Flores dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan hanya menerima suntikan bulanan bagi mengawal masalah prolaps injap mitral, iaitu gangguan pada salah satu injap jantung.

Bagaimanapun, peguamnya memaklumkan, Flores kini perlu mengambil empat jenis ubat setiap hari, selain sentiasa membawa nitrogliserin sebagai langkah kecemasan sekiranya berlaku serangan jantung.

Malah, beliau turut menerima nasihat perubatan berterusan supaya menjalani pemeriksaan koronari dan kemungkinan pembedahan jantung.

Flores merupakan tokoh berpengaruh dalam kerajaan Venezuela dan berkhidmat sebagai Wanita Pertama sejak Maduro dilantik sebagai presiden pada 2013.

Sebelum itu, beliau merupakan antara pemimpin kanan Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), parti politik dominan negara itu, serta pernah mengetuai Perhimpunan Kebangsaan selama lebih empat tahun.

Maduro dan Flores telah lama menjadi sasaran kritikan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang menuduh Venezuela membenarkan pengedar dadah memasuki Amerika Syarikat. 

Kedua-duanya turut berdepan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk tindakan keras terhadap pembangkang politik.

Selepas operasi yang membawa kepada penahanan pasangan itu, pentadbiran Trump memfailkan pertuduhan berkaitan penyeludupan dadah dan senjata terhadap mereka. 

Kedua-duanya kini menunggu perbicaraan di New York dan telah mengaku tidak bersalah.

Menurut pasukan pembelaan, kesihatan Flores mula menimbulkan kebimbangan sejak beliau dipindahkan secara paksa dari Venezuela.

Selepas mendapatkan pandangan pakar perubatan bebas, peguamnya percaya Flores mungkin mengalami serangan jantung ringan pada 29 Julai lalu ketika berada dalam tahanan AS.

Mereka juga mempersoalkan sama ada Flores menerima rawatan sewajarnya untuk masalah prolaps injap mitral yang dihidapinya.

Peguamnya berkata, sejak ditahan, Flores tidak lagi menerima suntikan bulanan yang diperlukan untuk mengawal keadaan tersebut.

Sebaliknya, beliau hanya diberikan aspirin dos rendah, statin, diltiazem serta nitrogliserin untuk digunakan apabila mengalami sakit dada.

Doktor turut mengesyorkan agar Flores menjalani prosedur jantung yang berpotensi membawa kepada pembedahan lanjut.

Menurut pasukan pembelaan, sekiranya rawatan itu dilaksanakan, Flores memerlukan tempoh pemulihan yang mencukupi dalam persekitaran yang lebih sesuai untuk memulihkan kesihatannya.

Walaupun mengakui Flores menerima rawatan yang baik daripada kakitangan perubatan, peguamnya berhujah bahawa pusat tahanan tidak menyediakan suasana yang kondusif untuk proses pemulihan selepas prosedur tersebut.

Mereka mencadangkan Flores dipindahkan dari Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn ke sebuah kediaman dalam daerah mahkamah persekutuan Manhattan, lokasi perbicaraan beliau dan Maduro yang dijadual berlangsung pada Jun tahun depan.

Jika dibenarkan menjalani tahanan rumah, Flores akan dipantau secara bersenjata selama 24 jam sehari, dengan semua pelawat tertakluk kepada kelulusan mahkamah dan pihak pendakwa raya persekutuan.

Kediamannya juga akan dipantau menerusi sistem video, manakala panggilan telefonnya akan direkodkan.

Setakat ini, Hakim Alvin K. Hellerstein masih belum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement