KUALA LUMPUR: China menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera campur tangan dan meleraikan keganasan yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat  Palestin di bumi Gaza ketika ini.

Selain itu Menteri Luarnya, Wang Yi turut membidas peranan Amerika Syarikat sehingga majlis tersebut kelihatan lemah dan gagal mengambil tindakan segera.

"Dengan rasa kesal, Majlis Keselamatan PBB buat masa ini gagal untuk mencapai persetujuan, susulan pendirian Amerika Syarikat yang bertentangan dengan keadilan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad seperti dilaporkan agensi berita Xinhua.

Wang Yi sebelum itu dilaporkan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Pakistan,  Shah Mahmood Qureshi berhubung isu di Palestin.

Majlis Keselamatan PBB dijadual bermesyuarat jam 10 malam ini waktu Malaysia bagi membincangkan krisis Asia Barat yang melanda Palestin ketika ini.

Sesi debat terbuka secara maya itu akan menyaksikan penglibatan lima anggota tetap serta 10 anggota tidak tetap.