Skip to main content

[TERKINI] Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Khamis, 19 Februari

Dunia

Isu panas serantau bakal uji kepimpinan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN

ASEAN
Kredibiliti ASEAN bergantung pada kesinambungan dasar dan pelaksanaan yang konsisten, berbanding pengenalan inisiatif baharu bagi setiap giliran pengerusi tahunan, menurut Rahul. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Keupayaan diplomatik Manila kini menjadi tumpuan apabila Filipina menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2026, di tengah-tengah pergolakan geopolitik paling mencabar melibatkan isu Myanmar, Laut China Selatan dan sempadan Kemboja-Thailand.

Domain maritim dilihat secara meluas sebagai ujian kredibiliti terawal, memandangkan peranan dwifungsi Filipina sebagai Pengerusi ASEAN dan negara penuntut di Laut China Selatan - kedudukan yang menuntut kawalan diplomatik serta kepimpinan serantau.

Advertisement

Penganalisis berpendapat pengerusiannya mungkin lebih ditentukan oleh keupayaan mengurus krisis dan jangkaan berbanding inisiatif baharu, memandangkan Manila perlu berdepan pelbagai tekanan sambil berusaha mengekalkan perpaduan dan kepusatan ASEAN.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata situasi tersebut boleh mendorong Manila ke arah tindakan imbangan yang halus di tengah-tengah dinamik kuasa besar.

“Ini menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan dan pembinaan konsensus, terutamanya memandangkan penglibatan keselamatan Filipina yang semakin jelas dengan Amerika Syarikat (AS).

“Ujian utama adalah sejauh mana Filipina dapat mengekalkan komunikasi terbuka dengan China sambil memujuk Beijing untuk mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di tengah-tengah persaingan strategik AS-China yang semakin sengit di rantau ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kemajuan terhadap COC yang telah lama tertangguh dijangka kekal secara berperingkat, mengekalkan dialog dan mencegah ketegangan daripada memuncak adalah penting bagi memelihara peranan ASEAN sebagai platform perundingan utama.

Di luar domain maritim, ketegangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja membentangkan ujian diplomatik yang berbeza, yang menurut penganalisis memerlukan penglibatan pencegahan yang stabil berbanding campur tangan berprofil tinggi.

“Walaupun Manila mempunyai hubungan yang agak kukuh dengan Bangkok, penglibatannya dengan Phnom Penh adalah lebih baharu, dengan lawatan timbal balik peringkat tinggi hanya bermula pada 2025.

“Ini menyerlahkan peluang dan kekangan yang dihadapi dalam mengemudi isu dua hala yang tidak menentu sambil mengekalkan kesepaduan ASEAN,” kata Siti Darwinda.

Profesor Madya Dr Rahul Mishra dari Pusat Pengajian Indo-Pasifik, Universiti Jawaharlal Nehru, turut berpandangan bahawa pengerusian Filipina akan lebih ditentukan oleh keupayaan membendung krisis berbanding inovasi dasar. 

“Krisis Myanmar dan pertikaian Thailand-Kemboja yang belum selesai kekal sebagai cabaran paling mendesak.

“Ujian utama adalah sama ada ASEAN dapat melangkaui kepatuhan retorik terhadap Konsensus Lima Perkara kepada penglibatan terpilih yang praktikal - akses kemanusiaan, pendekatan politik yang terukur, serta kesepaduan dari segi proses walaupun hasilnya terhad.

“Mengurus perbezaan dalam ASEAN tanpa memecah-belahkan organisasi akan menjadi cabaran kepimpinan utama,” katanya kepada Bernama.

Rahul menambah bahawa Manila perlu berhati-hati dalam menguruskan perkembangan di Laut China Selatan bagi memastikan pertikaian tidak merebak menjadi ketegangan serantau yang lebih luas.

“Laut China Selatan ialah isu sensitif, namun sebagai pengerusi, Filipina perlu melaksanakan tugas yang belum diselesaikan oleh pengerusi terdahulu. Kemajuan terhadap COC mungkin berperingkat; ujian sebenar ialah mencegah peningkatan ketegangan sambil mengekalkan perpaduan dan kerelevanan ASEAN,” katanya.

Penganalisis turut menekankan kepentingan kesinambungan institusi, khususnya melalui mekanisme Troika ASEAN, dalam membantu Manila mengekalkan momentum usaha serantau dan memastikan pelaksanaan dasar melangkaui satu kitaran pengerusian.

Asalnya ditubuhkan pada 2023 untuk menangani krisis Myanmar, rangka kerja Troika - yang melibatkan pengerusi terdahulu, semasa, dan akan datang - menyediakan platform untuk tindak balas yang diselaraskan dan ketekalan dasar, terutamanya dengan Malaysia sebagai pengerusi sebelum ini diikuti Filipina dan Singapura yang dijadualkan memegang peranan itu pada 2027.

Rahul berkata kredibiliti ASEAN bergantung pada kesinambungan dasar dan pelaksanaan yang konsisten, berbanding pengenalan inisiatif baharu bagi setiap giliran pengerusi tahunan.

Beliau berkata Filipina boleh memperkukuh perkara ini dengan menyelaraskan keutamaannya dengan kerangka sedia ada seperti Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), sambil memajukan agenda lama termasuk rundingan COC Laut China Selatan.

Ini, katanya, akan membolehkan Manila memperincikan isu seperti keselamatan maritim, daya tahan rantaian bekalan, dan perkembangan serantau sebagai perkara berkaitan pelaksanaan dan bukannya perubahan hala tuju.

Pada masa sama, Siti Darwinda berkata Filipina wajar memastikan pengerusiannya berteraskan pelan hala tuju dan komitmen institusi ASEAN sedia ada, bukan memperkenalkan perubahan dasar secara mendadak. 

Tambah beliau, mengekalkan kepentingan ASEAN dan mekanisme pimpinan ASEAN adalah kritikal, memandangkan keberkesanan organisasi itu sekian lama bergantung pada usaha meneruskan keutamaan yang telah dipersetujui berbanding mengubah hala tuju setiap kali berlaku pertukaran pengerusi.

Beliau menyatakan bahawa Manila dijangka memberi penekanan kepada keutamaan merentasi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, dengan tumpuan khusus kepada dimensi sosiobudaya selaras dengan advokasi kerjasama berpusatkan rakyat.

Siti Darwinda berkata pendekatan itu selari dengan tema Pengerusian ASEAN 2026 Filipina, “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”, yang menekankan usaha kolektif untuk memperkukuh keamanan dan keselamatan, meningkatkan kemakmuran, serta memperkasakan komuniti di seluruh rantau.

Di tengah-tengah ketegangan serantau, pengerusian Filipina akan dinilai bukan melalui deklarasi baharu tetapi melalui keupayaannya untuk menstabilkan ASEAN menerusi diplomasi berhemah, mengekalkan dialog antara pihak berkepentingan yang berpecah, dan memastikan blok itu kekal sebagai platform berkesan bagi menangani cabaran bersama.

-- BERNAMA

Must Watch Video