Skip to main content

[TERKINI] Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Khamis, 19 Februari

Dunia

Israel larang imam Al-Aqsa masuki kawasan masjid menjelang Ramadan

Palestinians walk through a checkpoint to enter Al-Aqsa Mosque as they prepare for the holy fasting month of Ramadan in Jerusalem's Old City, February 17, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Penduduk Palestin melalui sekatan untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan di Kota Lama Baitulmaqdis, pada 17 Februari 2026. - Gambar Reuters

BAITULMAQDIS: Seorang imam kanan di Masjid Al-Aqsa memaklumkan, pihak berkuasa Israel menghalangnya daripada memasuki kawasan masjid itu, hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut bulan suci Ramadan.

Sheikh Muhammad Al‑Abbasi berkata, larangan tersebut berkuat kuasa sejak Isnin.

Advertisement

“Saya dilarang memasuki masjid selama seminggu, dan arahan itu boleh dilanjutkan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak dimaklumkan mengenai punca sekatan tersebut.

“Saya baru kembali ke Al-Aqsa sebulan lalu selepas setahun berada di hospital akibat kemalangan jalan raya yang serius. 

"Larangan ini sangat berat bagi kami kerana jiwa kami terikat dengan Al-Aqsa. Al-Aqsa adalah kehidupan kami,” ujarnya.

Pada Isnin, polis Israel mengumumkan cadangan mengeluarkan 10,000 permit kepada penduduk Palestin dari Tebing Barat yang memerlukan kelulusan khas untuk memasuki Baitulmaqdis.

Pegawai kanan polis Israel, Arad Braverman berkata, ribuan anggota keselamatan akan dikerahkan “siang dan malam” di sekitar kawasan masjid, termasuk semasa solat Jumaat yang dijangka menarik jumlah jemaah paling ramai.

Pihak Gabenor Baitulmaqdis Palestin pula dimaklumkan, kriteria permit kekal sama seperti tahun lalu — lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita 50 tahun ke atas.

Pihak berkuasa Israel turut dilaporkan menghalang Waqf Islam, badan yang diuruskan Jordan, daripada menjalankan persiapan rutin Ramadan seperti pemasangan khemah teduhan serta penyediaan klinik perubatan sementara.

Sumber Waqf memaklumkan, 33 kakitangan organisasi itu turut dikenakan larangan memasuki kawasan Al-Aqsa sepanjang minggu menjelang Ramadan.

Walaupun orang Yahudi dibenarkan melawat kawasan Al-Aqsa di bawah peraturan sedia ada, mereka tidak dibenarkan beribadat di situ. 

Namun, penduduk Palestin bimbang status quo itu semakin terhakis berikutan perkembangan politik terkini.

Dalam perkembangan berasingan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel memberi amaran mengenai satu pelan penempatan baharu yang ditandatangani kerajaan, yang disifatkan sebagai peluasan pertama sempadan Baitulmaqdis ke dalam Tebing Barat sejak 1967.

Cadangan itu, yang disiarkan awal Februari dan dilaporkan media Israel pada Isnin, muncul ketika kecaman antarabangsa semakin meningkat terhadap langkah-langkah yang dilihat memperkukuhkan kawalan Israel di wilayah Palestin.

Pengkritik menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha menggabungkan Tebing Barat secara de facto.

Menurut kenyataan Kementerian Pembinaan dan Perumahan Israel, rancangan itu melibatkan pembangunan sekitar 2,780 unit perumahan bagi penempatan Geva Binyamin (Adam), dengan pelaburan kira-kira AS$38.7 juta.

Bagaimanapun, kawasan pembangunan terletak di sebelah Baitulmaqdis pada garisan pagar pemisah, manakala penempatan Geva Binyamin berada di bahagian Tebing Barat - kedua-duanya dipisahkan oleh sebuah jalan.

Pemantau penempatan, Peace Now berkata, kawasan baharu itu tidak mempunyai hubungan “teritorial atau fungsi” dengan penempatan sedia ada.

Pengarah Eksekutif Peace Now, Lior Amihai menambah: “Kawasan kejiranan baharu ini akan menjadi sebahagian daripada bandar Baitulmaqdis, tetapi ia berada di luar sempadan perbandaran yang dilampirkan. Ia terletak sepenuhnya dalam wilayah Tebing Barat namun bersebelahan Baitulmaqdis.” - Agensi

Must Watch Video