Skip to main content

Dunia

Itali panggil duta Israel, bantah layanan terhadap aktivis GSF, tuntut pembebasan warganya

GSF, israel, AP
Kerajaan Itali memaklumkan bahawa ia sedang mengambil tindakan segera di peringkat institusi tertinggi bagi memastikan pembebasan rakyat Itali yang terlibat dalam insiden itu. - Gambar fail/AP

BRUSSELS/ISTANBUL: Itali memanggil duta Israel bagi membantah layanan terhadap aktivis yang terlibat dalam flotila bantuan menuju ke Gaza serta menuntut pembebasan segera rakyatnya yang masih ditahan, menurut Kementerian Luar negara itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Duta Riccardo Guariglia, memanggil Jonathan Peled dan menyampaikan "bantahan keras" kerajaan Itali berhubung perkara itu, menurut kenyataan kementerian berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Guariglia meminta semua rakyat Itali yang masih ditahan dibebaskan segera dan dihantar pulang ke Itali secepat mungkin.

Mengulangi pendirian Menteri Luar Antonio Tajani, Guariglia berkata insiden itu "tidak boleh diterima", khususnya kerana individu terbabit tidak bersenjata dan tidak mempunyai niat untuk melakukan keganasan.

"Beliau turut menekankan betapa seriusnya campur tangan di perairan antarabangsa dan melahirkan rasa marah terhadap imej yang disiarkan sejak beberapa jam lalu," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menambah bahawa Itali berhak mempertimbangkan inisiatif politik yang sesuai, termasuk di peringkat Eropah.

Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri Giorgia Meloni dan Tajani mengkritik insiden berkenaan.

"Imej Menteri (Keselamatan Negara) Israel (Itamar) Ben-Gvir tidak boleh diterima. Adalah tidak boleh diterima apabila  penunjuk perasaan ini, termasuk ramai rakyat Itali, dilayan sedemikian rupa sehingga mencabuli maruah kemanusiaan mereka," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kerajaan Itali memaklumkan bahawa ia sedang mengambil tindakan segera di peringkat institusi tertinggi bagi memastikan pembebasan rakyat Itali yang terlibat dalam insiden itu.

Rom turut menuntut permohonan maaf berhubung layanan terhadap aktivis serta apa yang disifatkannya sebagai pengabaian terhadap permintaan jelas yang dikemukakan pihaknya.

Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto turut menulis di platform media sosial X bahawa tindakan Ben-Gvir tidak membawa kebaikan kepada kepentingan Israel.

“Kami berbangga dengan perkara lain, Menteri. Kami berbangga kerana sentiasa melayan rakyat Israel dengan hormat, dan kami tidak mempunyai kebiasaan menahan orang di perairan antarabangsa. Sebaliknya, kami menyelamatkan mereka apabila memerlukan bantuan,” tambah Crosetto.

Kenyataan itu dibuat susulan video yang dimuat naik Ben-Gvir di media sosial yang menunjukkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla pada Selasa memaklumkan bahawa kesemua 50 kapal dalam konvoi bantuannya telah dirampas Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement