SUSULAN kematian warga Amerika Syarikat, George Floyd di Minneapolis 25 Mei lalu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut menyuarakan kecaman dan menyifatkan kejadian itu sebagai mengerikan.

Kenyataan Ardern itu seiring reaksi sebilangan rakyat New Zealand yang berarak sebagai tanda solidariti terhadap Floyd dan membantah diskriminasi kaum yang masih wujud pada hari ini.

“Saya bersependapat dengan orang ramai susulan kejadian ngeri yang kita telah lihat setakat ini,” kata Ardern dalam satu temuramah bersama TVNZ.

Menurut Ardern lagi, tindak balas warga New Zealand menunjukkan bahawa mereka mengecam tindakan diskriminasi perkauman.

Walaupun tidak membantah reaksi rakyat negara itu yang berhimpun menyatakan sokongan kepada perjuangan hak sama rata kaum tanpa mengira warna kulit, beliau menzahirkan kebimbangan jika peserta yang berarak mengabaikan perintah sekatan pergerakan.

Kerajaan New Zealand telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan selama lebih tujuh minggu bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan.

Memetik laporan SBS News, Ardern berkata: “Saya berharap agar kita sentiasa melindungi antara satu sama lain di saat pandemik yang sedang melanda. Kita juga boleh mencari cara lain untuk menunjukkan solidariti," katanya.

Difahamkan, kira-kira 2,000 orang menghadiri perhimpunan aman solidariti terhadap Floyd pada 1 Jun lalu.

"Saya tiada niat untuk menghentikan perhimpunan aman ini namun undang-undang dikuatkuasakan bagi melindungi orang ramai,” katanya.

BACA: COVID-19: Pakar khuatir kes pandemik naik mendadak susulan protes di AS