Menteri Pendidikan Thai terpaksa memohon maaf selepas beliau didapati membuat kritikan keras berhubung isu jam tangan mewah membabitkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan.

Teerakiat Jareonsettasin, yang mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi dalam wawancara dengan BBC Thai semasa di London baru-baru ini, berkata beliau memohon maaf kepada timbalan perdana menteri, namun pada masa sama, memutuskan untuk terus memegang jawatan, di sebalik spekulasi awal bahawa beliau akan meletak jawatannya dalam Kabinet.

"Saya mengaku membuat komen itu (tentang Jen Prawit), saya rasa agak kurang sopan apabila saya menyebutkan (komen itu) tentang seorang rakan setugas dalam Kabinet atau timbalan perdana menteri. Jadi, saya telah minta maaf kepada beliau," katanya kepada anggota media yang menunggu di Rumah Kerajaan pada Selasa.

Terdahulu, beliau bertemu Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha dan Prawit.

Timbalan Perdana Menteri menerima desakan bertalu-talu daripada orang ramai yang mahu supaya beliau segera meletak jawatan selepas dilihat memakai beberapa utas jam tangan mewah ketika menghadiri beberapa majlis rasmi.

Prawit berikrar untuk melepaskan jawatannya jika siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Anti Rasuah Negara (NACC) berhubung jam mewah dalam pemilikannya itu, mendapati beliau bersalah.

Teerakiat yang pulang ke tanah air dari London semalam tetapi tidak menghadiri mesyuarat Kabinet hari ini, juga berkata timbalan perdana menteri tersenyum dan menganggukkan kepala semasa beliau memohon maaf atas kelantangannya itu manakala Prayut pula bertanyakan beberapa soalan tentang perkara itu.

Dalam wawancara yang disiarkan semalam, menteri pendidikan itu mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung skandal jam tangan mewah, bagaimanapun terhenti daripada menyebut nama timbalan perdana menteri.

"Mengenai jam tangan itu, jika saya orang yang mendedahkannya, saya akan meletak jawatan selepas jam pertama lagi," katanya yang dipetik dalam wawancara itu, yang turut dilengkapi klip audio mengandungi kenyataan tersebut.

Sementara itu, perdana menteri yang ditemui media selepas mesyuarat berkenaan, berkata perpaduan dalam Kabinet beliau adalah teguh, dan beliau berkeyakinan bahawa isu terkini berhubung kenyataan Teerakiat itu tidak akan membahayakan kerajaan.

"Kabinet tidak goyah, setiap orang saling menyayangi dan memahami satu sama lain, saling memberi sokongan moral. Jika seseorang itu berbuat salah, maka bermaaf-maafan dan semuanya pun selesai," katanya.

-- BERNAMA