WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua import daripada mana-mana negara yang didapati membekalkan senjata kepada Iran, tanpa sebarang pengecualian.
Amaran itu dibuat hanya beberapa jam selepas Trump bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu bersama Tehran.
Advertisement
“Mana-mana negara yang membekalkan senjata ketenteraan kepada Iran akan serta-merta dikenakan tarif 50 peratus ke atas semua barangan yang dijual ke Amerika Syarikat, berkuat kuasa serta-merta. Tiada pengecualian atau kelonggaran,” kata Trump menerusi laman media sosialnya.
Bagaimanapun, Trump tidak menamakan mana-mana negara secara khusus dalam kenyataan tersebut.
China dan Rusia sebelum ini dilaporkan membantu Iran memperkukuh keupayaan ketenteraannya bagi menghadapi tekanan Amerika Syarikat dan Israel, termasuk dengan membekalkan peluru berpandu, sistem pertahanan udara serta teknologi dwiguna yang bertujuan meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu.
Namun, Beijing dan Moscow menafikan dakwaan membekalkan senjata kepada Iran dalam tempoh terdekat, walaupun tuduhan terhadap Rusia masih berterusan.