SEBUT sahaja jam tangan berjenama Rolex, pasti anda dapat membayangkan harga yang mampu mencecah jutaan ringgit.

Apatah lagi jika jam berjenama mewah itu pernah digunakan oleh pemegang watak ejen perisik terkenal, James Bond, yang pertama iaitu Sean Connery.

Ya, ini mungkin akan menjadi berita baik bagi golongan pengumpul barang-barang ‘rare’ atau gemar menyimpan koleksi jam-jam mewah kerana jam tangan yang dinamakan James Bond Submariner itu kini dibuka untuk pembida yang berminat.

Meskipun pada waktu itu, model jam tersebut tidak begitu canggih seperti mempunyai alat pemotong laser, detonator atau alat tersembunyi yang lain, ia masih boleh mencecah sehingga AS$280,000 (RM1.17 juta) berdasarkan anggaran nilainya.

Barangan antik tahan karat itu merupakan model siri Rolex Submariner 6538 dan dipercayai telah dihasilkan pada tahun 1958. Empat tahun kemudian, Connery memakai jam tangan itu dalam babak aksinya sebagai pengintip British.

Wakil syarikat penjualan lelong, Sotheby's, menjelaskan bahawa walaupun terdapat beberapa bahagian pada fizikal jam tangan itu telah pudar, penanda jam tetap utuh. Jam itu dikatakan bebas daripada kesan kusam atau calar yang ketara," berdasarkan maklumat daripada katalog jualan.

Walaupun tiada sambungan filem, jam tangan itu tetap bernilai kepada pengumpul, kata Sotheby. Ia menggambarkan barangan itu sebagai variasi yang sangat jarang ditemui bagi sebuah jam yang sememangnya sudah eksklusif.

Syarikat broker itu menganggarkan bahawa ia akan menjual barangan itu antara AS$180,000 hingga AS$280,000.

Menurut penulis filem James Bond, Ian Fleming, yang merupakan pemakai jam Rolex Explorer, menggambarkan Bond mempamerkan beberapa rekaan jam Rolex itu dalam beberapa filem daripada naratif novelnya.

Pelakon-pelakon bagi filem itu juga sering dilihat dalam skrin dengan menggunakan jenama itu, misalnya Connery yang dilihat memakai model ‘Submariner' dalam filem berikutnya, termasuk Thunderball dan From Russia with Love.

Dalam pada itu, jualan atas talian minggu ini, yang dibuka kepada pembida hari Rabu, mempunyai 13 lagi jam Rolex dan beberapa jam mewah yang lain seperti Omega, Tag Heuer dan Patek Philippe.

Bukan itu sahaja, kereta ikonik Bond iaitu Aston Martin DB5 dari filem Goldfinger pada 1964 yang dibaik pulih sepenuhnya juga akan dilelong untuk lelongan di Monterey, California dan ia dijangka mampu membuka harga bidaan sehingga AS$6 juta (RM25 juta).