ABUJA: Nigeria mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara bermula Selasa bagi 32 anggota Tentera Udara yang terbunuh apabila sebuah pesawat tentera terhempas di Negeri Ondo, barat daya negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.
Presiden Nigeria, Bola Tinubu ketika mengisytiharkan tempoh berkabung itu pada lewat Isnin turut mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sebagai penghormatan kepada mangsa, termasuk 25 penumpang dan tujuh anak kapal.
“Ini merupakan detik yang menyakitkan bagi Angkatan Tentera kita dan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, sambil mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian itu.
Tentera Udara Nigeria sebelum ini mengesahkan bahawa pesawat turboprop enjin berkembar ATR-42 dengan nombor ekor NGR 931 itu sedang menjalankan misi rutin dari Benin City di selatan Nigeria ke Lagos.
Pesawat itu terhempas berhampiran Pangkalan Tentera Laut di Igbokoda, sebuah komuniti di kawasan sungai di negeri Ondo, menurut Menteri Penerbangan dan Pembangunan Aeroangkasa, Festus Keyamo.
Menteri itu berkata, pesawat berkenaan terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sebelum nahas dan semua usaha untuk mengembalikan hubungan radio tidak berjaya.
Gabenor Ondo, Lucky Aiyedatiwa berkata, penduduk dan pasukan tindak balas kecemasan melakukan pencarian di lokasi nahas tetapi tidak menemui mangsa yang terselamat.
“Mereka tidak menemui seorang pun yang masih hidup di dalam pesawat itu,” kata Aiyedatiwa kepada penyiar tempatan Channels TV, berkata bahawa beberapa serpihan pesawat, kad pengenalan dan pakaian seragam ditemukan di lokasi, yang membantu pihak berkuasa mengenal pasti pesawat berkenaan sebagai pesawat tentera.
Tentera Udara Nigeria mengeluarkan nama anggota yang terlibat dalam nahas itu dan membuka buku takziah di ibu pejabatnya di Abuja pada pagi Selasa.
Di seluruh negara, rakyat Nigeria berkabung atas kematian mangsa nahas, yang merupakan antara nahas pesawat tentera paling dahsyat dalam sejarah negara Afrika Barat berkenaan.
Pada 26 Sept 1992, lebih 150 anggota tentera terbunuh apabila sebuah pesawat Tentera Udara Nigeria terhempas ke dalam terusan di sebuah kawasan kejiranan di Lagos sejurus selepas berlepas.
Mangsa kebanyakannya merupakan pegawai pangkat pertengahan yang sedang mengikuti kursus di negeri Kaduna, barat laut negara itu.
“Ini adalah bencana nasional,” kata Sharon Shiejir, anak perempuan kepada seorang daripada pegawai tentera yang terkorban dalam nahas 1992, selepas kejadian pada Isnin.
Ia bukan sahaja mengembalikan kenangan sedih, malah menambahkan lagi kesakitan akibat kehilangan insan tersayang yang sedang menjalankan tugasan untuk negara,” katanya.
--BERNAMA-XINHUA